Tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah terbakar

- Advertisement -

LIPIS: PAS Kawasan Lipis telah menziarahi satu keluarga yang kediaman mereka musnah ditimpa musibah kebakaran dalam kejadian di Kampung Peruang, Benta Kuala Lipis, di sini pagi kelmarin.

- Advertisement -

Mangsa, Mazlan Hassan bersama isteri dan empat anak yang masih dalam tanggungan serta merupakan penerima Projek Perumahan Rakyat Pahang (PPRP) tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran tersebut.

Beliau yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah institusi pendidikan di Sungai Badak, Jerantut bersama keluarganya itu kini terpaksa menginap sementara di sebuah rumah kosong milik jirannya.

Yang Dipertua PAS Lipis, Roslan Zainal dan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Lipis, Hasanah Ludin telah menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban ditanggung Mazlan ketika ziarah itu, semalam.

Roslan menyeru agar semua masyarakat dapat membantu dan mempermudahkan mangsa dalam menghadapi ujian ketika mana umat Islam sedang menjalani ibadah puasa dan dalam meraikan Aidil Fitri esok.

Beliau juga menambah agar sedekah yang diberi akan digandakan pahala oleh Allah S.W.T lebih lebih lagi pada bulan Ramadan ini dan dapat mengembirakan saudara seperti Mazlan atas tertimpanya kesusahan dan ujian.

Turut menziarahi beliau ialah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Abdul Rahman Mohamad, manakala pemimpin tempatan turut hadir ialah Ketua Kampung Peruang, Zainual Abidin Bakar dan Ketua PAS Cawangan Peruang, Abdullah Sidek.

Penyumbang yang ingin membantu mangsa bolehlah menyalurkan menerusi akaun Public Bank 4709303927 atas nama Mazlan Hassan dan boleh diziarahi di No. 19, PPRT Kampung Peruang, Benta, 27310 Kuala Lipis. – HARAKAHDAILY 12/5/2021

- Advertisement -