Seruan membaca qunut nazilah untuk Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru kepada seluruh umat Islam supaya membaca Doa Qunut Nazilah untuk rakyat Palestin yang kini sedang berperang dengan rejim Zionis Israel.

“Saya juga mengajak para pencinta Masjid al-Aqsa memberikan infaq dan sumbangan untuk membantu perjuangan pembebasan Palestin.

“Semoga Allah memberikan kekuatan dan pertolongan kepada pejuang jihad Palestin bagi menentang kezaliman Zionis Israel laknatullah,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Pada petang Isnin lalu, seramai 20 rakyat Palestin terbunuh termasuk sembilan kanak-kanak sementara 65 yang lain cedera dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan, 20 mayat dibawa ke hospital di Selatan Semenanjung Gaza termasuk mayat sembilan kanak-kanak, satu daripadanya bayi perempuan.

Awal pagi tadi waktu tempatan bersamaan dengan tengah malam semalam waktu Palestin, buat kali keempat pasukan keselamatan zionis Israel telah menceroboh masuk ke perkarangan Masjidil Aqsa dengan menyerang penduduk Palestin yang berada di kawasan tersebut.

Beberapa ketika selepas itu, pesawat pejuang tentera rejim zionis Israel mula mengganas di Semenanjung Gaza.

Tiga orang terkorban termasuk kanak-kanak dalam satu serangan yang disasarkan ke atas sebuah bangunan pangsapuri di Al Hawa Hill, barat Semenanjung Gaza.

Sebuah bangunan pangsapuri, Gawhara Tower telah menjadi sasaran terbaharu rejim zionis Israel dan telah mengakibatkan lebih 160 keluarga hilang tempat berteduh.

Sehingga hari ini, lebih 30 rakyat Palestin terkorban termasuk kanak-kanak dan ratusan lagi cedera dalam siri keganasan terbaharu Israel terhadap rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 12/5/2021

- Advertisement -