Sediakan pusat sembelih khusus untuk peniaga

- Advertisement -

GEORGETOWN: Cadangan supaya mewujudkan pusat penyembelihan pernah diusulkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang pada tahun 2012.

Bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Iszurie Ibrahim berkata pada ketika itu pihaknya membentangkan cadangan demi cadangan supaya kemudahan pusat penyembelihan dapat disediakan untuk semua peniaga.

“Apa yang sedang dilakukan kerajaan Pulau Pinang sedang ke arah sistem di Singapura. Di Singapura banyak tempat yang telah kami lawati, mereka amalkan sistem itu tidak dibenarkan melakukan sebarang penyembelihan ayam di pasar-pasar ikan.

- Advertisement -

“Rumah penyembelihan tidak ada, jadi orang Melayu nak sembelih ayam dekat mana? Sebab itu kita cadangkan adakan satu pusat sembelih khusus untuk penjaja yang sembelih, bukan di pasar ikan itu, tetapi di pusat itu,” ujar Iszurie yang turut hadir mendengar keluhan peniaga ayam di situ.

Berkuat kuasa pada 1 Jun depan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang melarang peniaga ayam melakukan penyembelihan ayam di pasar ikan atau pasar basah, perkara itu turut tertakluk di kawasan kampung.

Peniaga ayam dibenarkan meniaga ayam sejuk beku yang telah disembelih di kilang-kilang dan peniaga perlu menyediakan ‘chiller fridge’ untuk menyimpan ayam mentah yang telah disembelih.

Difahamkan pelaksanaan ini akan diperluaskan di seluruh negeri Pulau Pinang secara berperingkat.

Beliau tidak menafikan semasa usahanya untuk mencadangkan pusat penyembelihan itu ada muslihat yang dirancang yang sudah tentu ia bagi menguntungkan pihak tertentu.

Selain isu ini, kelantangan Iszurie terhadap beberapa pelaksanaan yang dirancangkan kerajaan DAP Pulau Pinang menyebabkan beliau dipecat sebagai Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang pada tahun 2014.

“Mereka mulakan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dulu, di Pulau Pinang ada dua PBT, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai.

“Cadangan kami semasa dalam majlis dulu, tidak sangka kerajaan negeri nak bawa ke arah ini,” ujar Iszurie Ibrahim yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 12/5/2021

- Advertisement -