PUM kutuk serangan Israel ke atas rakyat Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang berterusan menyerang umat Islam di Palestin, khususnya di Masjidil Aqsa dan Gaza.

Yang Dipertuanya, Dato’ al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, tindakan rejim Israel ini suatu tindakan yang tidak berperikemanusiaan terutama apabila dilakukan dalam bulan Ramadan di mana umat Islam melaksanakan ibadah puasa pada siang hari dan melakukan solat tarawih dan ibadah-ibadah lain pada malam hari.

Tambahnya, tindakan mereka mengusir penduduk di perkampungan Syeikh Jarrah menunjukkan kerakusan zionis untuk merampas keseluruhan tanah Palestin untuk dibina penempatan bagi masyarakat Yahudi langsung tidak boleh diterima dan mesti ditentang.

- Advertisement -

Katanya, kebiadaban rejim Israel itu berterusan apabila rakyat Palestin dihalang daripada melakukan ibadah di Masjidil Aqsa yang merupakan masjid ketiga suci dalam Islam.

Menurutnya lagi, mereka membedil sesuka hati menyebabkan rakyat Palestin cedera sehingga ada yang dinafikan akses untuk mendapat rawatan.

“Manakala pengeboman berterusan di Gaza adalah sesuatu yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, ujarnya kuasa besar dunia, PBB dan OIC mesti segera memberikan tekanan kepada Israel supaya berundur dan berhenti daripada melancarkan serangan ke atas rakyat Palestin.

Beliau menambah, sekiranya kerakusan rejim Israel itu tidak dibendung, kemungkinan dunia akan menyaksikan kebangkitan intifadah ketiga yang kesannya nanti akan memburukkan krisis kemanusiaan dunia.

“Cukuplah Israel yang memberikan layanan buruk terhadap Palestin dalam soal vaksinasi Covid-19, janganlah pula menyerang mereka bertubi-tubi.

“Pasti reaksi kumpulan Palestin akan memberi impak kepada kehancuran Israel yang diebabkan oleh kesilapan mereka sendiri dan ditunggu oleh ramai pihak,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 12/5/2021

- Advertisement -