Penyiaran wajar bersifat mendidik sempena tibanya Syawal

- Advertisement -

KERAJAAN seharusnya sudah mula mengorak langkah ke arah perubahan pendekatan dalam penyiaran semua saluran televisyen dan radio agar lebih menumpukan kepada aspek pembangunan modal insan yang menjadi aset penting kepada negara. Hari ini, selain menyampaikan maklumat semasa, penyiaran di negara ini lebih banyak menampilkan hiburan untuk keseronokan semata-mata.

Sedangkan sebagaimana kata ulamak sosiologi terkemuka, Ibnu Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah, bangsa yang asyik berseronok tidak akan cepat menikmati kemajuan. Maka, sektor penyiaran yang sangat berpengaruh kepada masyarakat mesti mengalami perubahan.

- Advertisement -

Rangka ke arah meninggikan ketamadunan insan dan keharmonian masyarakat serta memacu paradigma kemakmuran negara mesti diadakan. Ia dapat dijayakan dengan peranan bersama tokoh akademik, pakar psikologi, ahli filem, para mufti dan ramai pihak lagi.

Misalnya, sejak lebih 70 tahun kewujudan bidang penyiaran di negara ini, setiap kali Syawal dalam menyambut Hari Raya Aidil Fitri, pasti televisyen dan radio kita makin rancak menyajikan hiburan. Walhal Aidil Fitri adalah perayaan ibadah yang sepatutnya juga melangsungkan roh Ramadan.

Malangnya, penyiaran kita seolah-olah tanpa sedar telah mendorong umat Islam sebaik sahaja memasuki gerbang Syawal dengan unsur kelalaian, hiburan dan lawak jenaka. Ia boleh menjejaskan keberkatan, keampunan dan peluang pembebasan api neraka yang gigih diraih dari kelebihan dikurniakan Allah S.W.T semasa Ramadan.

Ketika Ramadan umat Islam berpuasa perut, hati, otak, mata, telinga dan hidung, tiba-tiba Syawal sebagai anugerah kemenangan tarbiyah dicemari semua itu dengan rancangan disiarkan. Cukup dengan sehari sahaja, 1 Syawal berselang seli takbir raya dengan pendedahan aurat dan percampuran bebas bukan mahram disiarkan.

Secara khusus, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) perlu lebih peka memandangkan kita kini di zaman musibah yang sepatutnya menginsafkan kita dari terus menyuburkan kelalaian. Gunakanlah sebaik mungkin media yang ada untuk mendidik dan membentuk warga.

Teguran ikhlas ini tidak sesekali menafikan pelbagai program agama yang disajikan melalui kaca televisyen dan corong radio serta penambahbaikan yang telah dilakukan. Semoga pandangan ini dilihat dari sudut positif iaitu sama-sama memberikan sumbang saran membina untuk melahirkan khair ummah.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB USTAZ ZURIDAN MOHD DAUD
Ketua Ulamak
Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 12/5/2021

- Advertisement -