Gesa pinda perundangan untuk tutup kelemahan?

LEKAS ingatkan PBAPP supaya tidak menutup kelemahan operator-operator air dengan menggesa pindaan undang-undang

- Advertisement -

PERTUBUHAN Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) berpandangan sisa air (alum sludge) daripada loji rawatan air yang kononnya ‘isu nasional’ itu sebenarnya adalah isu yang diada-adakan oleh pihak berkepentingan terhadap operator-operator air yang gagal mengikut peraturan sedia ada.

Gesaan pihak berkepentingan ini supaya pindaan undang-undang dibuat kelihatan sebagai alasan untuk menutup kegagalan mereka sendiri untuk menyediakan ‘Sludge Treatment Facility’ (Kemudahan Rawatan Enap cemar) yang selaras dengan tahap pengeluaran air terawat.

LEKAS mendapati kenyataan media yang dibuat oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) umpama pesalah alam sekitar yang giat melobi operator-operator air di negeri lain supaya bersama mereka untuk meminda undang-undang yang sesuai dengan selera mereka tanpa memikirkan komplikasi yang dialami oleh beberapa jabatan-jabatan dalam kerajaan dalam menyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar. 

- Advertisement -

Oleh yang demikian, ketulusan untuk memberi komitmen terhadap alam sekitar daripada pihak berkepentingan ini amatlah diragui. Ketulusan harus ditunjukkan dengan mengikut undang-undang sedia ada dengan baik dan pembuangan terus ‘alum sludge’ ke sungai juga takkan berlaku. Ironinya fokus pesalah-pesalah alam sekitar ini cenderung mempersalahkan pihak lain berbanding memperbaiki kelemahan sedia ada.

LEKAS menegaskan perubahan undang-undang jika dibuat sepatutnya bukanlah bersifat untuk memberi muka terhadap operator-operator air yang telah lama membiarkan masalah tanpa penyelesaian serta menghimpunkannya sehingga meruncing dan akhirnya meminta pihak lain menyelesaikannya di peringkat nasional. 

Sekian Terima Kasih

ZIKRULLAH ISMAIL
Pengerusi Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang – LEKAS 
(Chairman, Penang Sustainable Natural Heritage Association) – HARAKAHDAILY 12/5/2021

- Advertisement -