Usah keliru lagilah

“Letak jawatan jika tidak selesa dengan kerajaan PN – Hadi Awang”

Inilah satu bentuk media framing oleh pihak media dengan meletakkan satu tajuk dengan tujuan menimbulkan salah faham dan kekeliruan kepada pembaca yang suka baca tajuk berita sahaja, tanpa memahami makna sebenar tulisan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Pertama, topik utama yang ditulis oleh Tuan Guru berkenaan konsep Pengasingan Kuasa atau Separation of Power atau الفصل بين السلطات.

Tuan Guru menjelaskan makna pengasingan kuasa antara tiga badan utama; pemerintah (executive), perundangan (legislative) dan kehakiman (judiciary), bukan bererti putus atau berpisah sehingga kerajaan tidak berhak untuk campur tangan urusan jentera kerajaan jika ada penyelewengan dan salah laku.

Advertisement

Campur tangan dalam perkara yang dibenarkan untuk penyelarasan dan mengukuhkan kerajaan, bukan campur tangan untuk menimbulkan kecelaruan atau percanggahan. Bukan juga campur tangan dalam urusan pentadbiran yang sudah betul.

Perkara ini sebenarnya yang mahu dijelaskan oleh Tuan Guru bilamana sebilangan rakyat memahami konsep pengasingan kuasa bermakna tidak ada hubungan langsung, putus sepenuhnya seperti tali yang putus sebebas-bebasnya.

Kedua, Tuan Guru menjelaskan peranan setiap badan utama untuk berkhidmat kepada negara dan kerajaan yang sah menurut Perlembagaan dan demokrasi negara. Tidak kira apa jua fahaman politik, mereka wajib mengikut dasar kerajaan dan bergerak berdasarkan polisi yang telah ditentukan oleh kerajaan semasa yang memerintah.

Mereka boleh kekal seperti biasa dengan mengikut arahan dan dasar kerajaan. Jika tidak mahu atau tidak selesa dengan kerajaan, terpulang kepada mereka untuk meletak jawatan atau tidak memegang jawatan.

Tuan Guru menggunakan perkataan “mengikut kemahuannya”. Tiada paksaan, tiada tekanan, dan tiada pencabulan hak kebebasan rakyat. Semuanya terserah kepada diri masing-masing.

Apa yang utama adalah Kerajaan, badan-badan utama dan seluruh penjawat awam melaksanakan tugas bersama-sama mengikut dasar dan polisi yang telah ditetapkan, dibahagi mengikut konsep pengasingan kuasa, namun tidak terputus demi memelihara tanggungjawab secara kolektif dan saksama.

Usah keliru lagilah. Sudah jelaskan. – HARAKAHDAILY 11/5/2021