Tajuk menyimpang jauh daripada maksud Tuan Guru

MEMBERITAKAN sebuah tulisan yang agak panjang tentunya agak sukar. Lebih-lebih lagi ada sokongan dengan nas al Quran. Maka jalan pintas wartawan mencari inti yang mudah difahami.

Di samping itu tidak lupa meletak tajuk popular biarpun bertentangan hasrat sebenar penulis. Tajuk yang dinukilkan seakan cuba menggambarkan keseluruhan maksud tulisan tersebut. Namun ternyata ia menyimpang jauh.

Inilah yang berlaku terhadap tulisan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Antaranya Presiden PAS menulis terdapat beberapa negara memilih pendekatan dengan meletakkan jawatan penting dalam setiap kementerian dan jabatan mengikut parti yang memerintah.

Sekiranya parti yang memerintah itu bertukar, maka mereka yang dilantik itu juga mesti ditukar.

Advertisement

Sebaliknya kata beliau juga apabila sesebuah kerajaan yang memerintah bertukar parti, individu yang dilantik tetap dikekalkan jawatan masing-masing, tanpa ditukar dengan orang lain.

“Mengikut peraturan, pegawai yang dikekalkan itu mestilah mengikut arahan kerajaan yang dikuasai oleh parti yang memerintah, walaupun mereka tidak menyokong parti yang menjadi kerajaan.

“Jika mereka merasa tidak selesa dengan kerajaan yang bukan daripada parti yang disokong olehnya, secara moral mereka boleh sahaja meletakkan jawatan dan tidak memegang jawatan mengikut kemahuannya,” catat Tuan Guru Abdul Hadi.

Tulisan itu jelas dan tidak keliru. Bagaimanapun apabila media mengenakan tajuk ‘letak jawatan jika tidak selesa dengan kerajaan’. Kemudian dikutip para-para yang ada kaitan dengannya.

Lebih malang lagi tajuk itu dijaja sehingga ramai yang faham separuh jalan turut mengulas. Lebih dashyat musuh politik pun menumpang semangkuk. Namun ulasan mereka menyimpang mesej asal dinukil penulis.

Malang sungguh pembangkang menjaja modal politik di atas mesej yang separuh masak. Lagak itu sememangnya menjadi kegemaran laman berita popular yang dekat dengan pembangkang.

Malah ada juga akhbar yang dianggap arus perdana menjaja nada serupa.

Pengasingan kuasa

Dr Wan Nik Wan Yussof

Mengulas isu tersebut Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, teori pengasingan kuasa diketengahkan Presiden PAS bagi memastikan fungsi kerajaan berjalan lancar.

Katanya penjawat awam menjadi jentera untuk melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan eksekutif bagi faedah rakyat.

Penjawat awam terbahagi kepada golongan profesional, kumpulan sokongan dan pekerja am yang menjadi tiang utama bahtera kerajaan.

Bagi Dr Wan Nik sekiranya seseorang penjawat awam tidak mampu melaksanakan polisi yang ditetapkan kerajaan mereka wajar berundur kerana ia boleh membantut usaha bagi membangun negara dan membantu rakyat.

“Penjawat awam ada tanggungjawab di bawah job descriptions. Perkara itu sudah jelas. Pengasingan kuasa itu bersifat klasik yang sudah lama diperkatakan dalam teori politik Barat,” katanya di sini.

Antaranya sarjana Jerman, Carl J Friedrich menjelaskan bahawa kerajaan yang benar-benar berperlembagaan tidak wujud melainkan ada sekatan diwujudkan bagi mengawal operasi.

Sekatan demikian bertujuan memperlihatkan pembahagian kuasa untuk memastikan jentera kerajaan berjalan lancar.

Lagipun pegawai kumpulan A boleh terbabit dalam politik dengan syarat mendapat kelulusan daripada majikan. Kumpulan lain pula bebas berpolitik selagi tidak mengganggu tugas dipertanggungjawab.

Dr Che Hamdan

Memperkatakan isu sama Dr Che Hamdan Mohd Razali dari UiTM Raub menjelaskan walau apa pun fahaman politik, penjawat awam perlu bersikap profesional dalam melaksanakan tugas.

“Mereka perlu memastikan perjalanan dasar-dasar dan program-program semasa kerajaan berjalan lancar.

“Namun mereka bebas membuat pilihan sokongan politik tidak hanya terhad kepada parti pemerintah dalam menentukan masa depan negara,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau berharap pemimpin lantikan politik tidak harus menjadikan penjawat awam sebagai ‘punching bag’ dalam menutup kelemahan tadbir urus negara.

Jelas ada pengasingan kuasa dalam urus tadbir kerajaan. Itu belum lagi diperincikan pemisahan antara eksekutif, legislatif dan judikatif. Masing-masing ada peranan.

Peliknya hujan tidak, ribut tidak, tiba-tiba media menjaja ‘letak jawatan jika tidak selesa dengan kerajaan’. – HARAKAHDAILY 11/5/2021