Pengguna ragu jika larang sembelih ayam di pasar basah

- Advertisement -

GEORGETOWN: Mengambil berat berhubung keresahan peniaga-peniaga ayam, Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata larangan sembelih ayam di pasar basah yang berkuat kuasa pada 1 Jun depan akan menimbulkan keraguan pengguna.

“Kita berharap supaya perkara ini dikaji semula bukan bermakna 100 peratus peniaga bantah, peniaga nak supaya satu mekanisma membolehkan pelanggan dan juga peniaga ini berjalan seperti biasa, ayam dipasarkan seperti biasa cuma kalau kerajaan nak pastikan kebersihan, keadaan ini sudah bersih.

“Selama ini orang kata peniaga ayam menghadapi masalah seperti didakwa isu jangkitan kuman, sebenarnya tidak ada.

“Jadi apa keperluan kerajaan buat macam tu, adakah ini adalah satu daripada agenda penguasaan ekonomi ataupun satu monopoli ekonomi oleh pihak-pihak tertentu yang ada kepentingan dengan kerajaan ataupun kerajaan ada kepentingan dengan mereka,” soalnya.

- Advertisement -

Beliau ditemui Harakahdaily di Pasar Jalan Patani pada Selasa selepas mendengar keluhan peniaga ayam susulan perlaksanaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk menghapuskan penyembelihan ayam di semua pasar basah di bahagian pulau yang berkuat kuasa pada 1 Jun depan.

Sehubungan itu, beliau mendesak supaya kerajaan negeri Pulau Pinang menangguhkan penguatkuasaan pada 1 Jun ini.

“Kita bantah perkara ini untuk kepentingan rakyat Pulau Pinang dan peniaga-peniaga yang terdiri daripada rakyatnya sendiri.

“Jadi ini tidak ada makna kalau kerajaan nak melaksana dalam keadaan mendiskriminasi ataupun menzalimi pihak peniaga dan rakyat.

“Rata-rata rakyat Pulau Pinang nak ayam segar maksudnya ayam tidak dimasukkan dalam peti sejuk beku. Jadi (mereka menuntut penyediaan) ayam segar dan pusat penyembelihan yang dikendalikan oleh orang Islam sendiri dan juga pelbagai bangsa mengikut keperluan bangsa masing-masing,” katanya.

Tambah beliau, sepatutnya kerajaan perlu memberikan kemudahan kepada peniaga untuk mereka mengendalikan penyembelihan dan patuh syariah bagi orang Islam.

Semua perkara ini yang dititikberatkan dan sangat diperlukan oleh rakyat di Pulau Pinang. Demikian itu, PAS mendesak supaya perkara ini dibatalkan dan dibuat kajian menyeluruh melibatkan semua agensi termasuk Majlis Agama Pulau Pinang dan semua badan berkepentingan serta rakyat dilibatkan di dalam isu ayam ini.

Turut hadir sama meninjau keadaan dan menyaksikan penyerahan memorandum bantahan Persatuan Peniaga Ayam Pulau Pinang ialah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim.

Menurut Fauzi, pihaknya akan mengkaji memorandum dan melihat kepada siapa yang perlu disampaikan mungkin Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kerana perkara itu berkaitan dengan rakyat.

“Selain daripada KPKT ia juga bersangkut paut dengan kementerian luar bandar, rumah-rumah penyembelihan. Jadi pasar-pasar yang ada di kampung tidak sepatutnya dikuatkuasakan di sini kerana masih ada peniaga mengusaha penyembelihan secara bersendirian.

“Jadi sepatutnya masa inilah kerajaan memberi peluang yang selama ini melaung-laungkan untuk bantu rakyat tetapi hari ini bukan membantu rakyat malah menindas rakyat,” sindirnya.

Mengambil iktibar wujud gedung-gedung perniagaan, pasar raya yang besar menyebabkan peniaga runcit terkesan.

Sekarang ini katanya, wujud monopoli syarikat besar menyebabkan peniaga-peniga di pasar pula bakal gulung tikar.

“Masyarakat tempatan yang mengenali peniaga-peniaga ini sudah sekian lama, mereka percaya dengan peniaga ini. Jadi sekarang ini akan membangkitkan kebimbangan dengan ayam yang diambil daripada syarikat tertentu.

“Kita memang tengok tempat-tempat lain dan tinjauan yang kita buat mereka (peniaga) tidak kira apa bangsa memang mereka bangkang dan tidak setuju dengan penguat kuasaan atau undang-undang baru yang nak dilaksanakan nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/5/2021

- Advertisement -