
MALAM tadi paling kurang ada tiga isu yang saya ikuti. Pertama, ucapan YAB Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri, Menteri Besar Terengganu sempena tiga tahun pentadbiran PAS di Terengganu. Doanya tentulah agar kecemerlangan ini diteruskan walaupun melalui keadaan yang sukar. Kedua, PKP di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun 2021. Kita akur dengan keputusan ini. Islam mengajar kita: Tasarruf al-Imam birraiyyah manutun bilmaslahah (tindak-tanduk pemerintah berkaitan rakyat berdasarkan kepentingan rakyat). Kes Covid-19 mesti ditangani sebaik mungkin sebelum menjadi seperti India. Ketiga, tindakan zalim, bobrok tentera rejim Zionis terhadap penduduk Palestin yang beribadat dan beriktikaf di Masjid al-Aqsa.
Ketika menulis artikel ini, saya tidak sempat menyemak semua fakta dari pelbagai sumber yang melatari peristiwa ini, tetapi tulisan ini berdasarkan apa yang saya fahami dan ikuti dari siaran saluran TV Al-Jazeera berbahasa Arab yang membuat liputan langsung dari Masjid al-Aqsa sehari dua ini.
Umat Islam memenuhi Masjid al-Aqsa untuk solat Tarawih, iktikaf dan mengambil kelebihan akhir Ramadan di masjid ketiga umat Islam selepas Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi. Malam 27 Ramadan, dijangka sekitar 90,000 orang yang memenuhi kompleks Masjid al-Aqsa. Seruan dibuat oleh pimpinan umat Islam di sana agar iktikaf hingga Isnin (semalam) kerana kemungkinan satu perarakan pendatang Yahudi akan berlaku, yang merentasi beberapa kawasan sekitar Masjid al-Aqsa, termasuk kawasan yang didiami oleh umat Islam. Perarakan ini berdasarkan kalendar Hebrew yang kebetulan berlaku di akhir Ramadan.
Tentera rejim Zionis berjanji pada awalnya tidak akan membenarkan pendatang Yahudi memasuki Masjid al-Aqsa atau laluan sensitif buat umat Islam, sehingga umat Islam dapat beribadat dan iktikaf di Masjid al-Aqsa. Namun, selepas fajar 28 Ramadan, kira-kira hampir zohor di Malaysia, tentera rejim Zionis menceroboh Masjid al-Aqsa. Mereka melontar gas pemedih mata dan peluru getah bagi menyuraikan umat Islam yang berada dalam Masjid al-Aqsa. Ramai yang terperangkap dalam Masjid al-Aqsa sesak nafas akibat gas pemedih mata. Akibatnya 305 orang yang cedera, tujuh orang tenat. Ada yang hampir empat jam ‘bergelut’ dengan tentera regim Zionis. Ketika azan Zohor 28 Ramadan, suara muazzin agak sayu, menahan sedih atas kejadian selepas fajar.
Sekitar Masjid Al-Aqsa, isu pengosongan rumah penduduk Palestin secara paksa di kawasan Sheikh Jarrah masih berterusan. Rejim Zionis, dengan menggunakan keputusan mahkamah kononnya, memaksa keluarga Palestin keluar dari rumah dan diduduku secara zalim oleh pendatang Yahudi.
Dalam satu liputan langsung oleh Al-Jazeera di kawasan Sheikh Jarrah, dengan dipenuhi tentera regim Zionis, seorang perempuan tua Palestin bersemangat mempertahankan hak orang Islam dan Palestin di situ. Dengan lantang beliau berteriak: Israel daulatun wahmiyyah (Israel hanyalah sebuah negara dongeng). Dua orang anggota Knesset aliran pelampau kanan tiba di kawasan Sheikh Jarrah, membuat ucapan provokasi kononnya orang Arab yang menceroboh, dan mereka melawat sebuah rumah orang Palestin di situ yang telah diduduki pendatang Yahudi sejak 2009 (kalau tak silap) kesan dari keputusan mahkamah rejim Zionis. Seorang lelaki Yahudi berkopiah hitam kecil berkata kepada perempuan tua tadi: ‘Al-Quran membenarkan tanah ini untuk kami’. Tentunya kenyataan yang sangat menyimpang dari maksudnya yang sebenar, tetapi itulah aqidah menyeleweng yang mereka warisi.

Pencerobohan rejim Zionis ke atas Masjid al-Aqsa menarik perhatian Gaza. Ketika saya menulis artikel ini, difahamkan, HAMAS memberi tempoh dua jam kepada rejim Zionis untuk meredakan ketegangan di Masjid al-Aqsa.

Setakat mana pergolakan ini akan terus berlaku? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Namun, seperti laporan wartawan Al-Jazeera, agak menarik apabila pendatang-pendatang Yahudi itu memacak bendera Israel di laluan yang mereka lalui ketika perarakan semalam, maka pemuda-pemuda generasi Tiktok lah yang mencabut bendera Israel itu kemudiannya, dan mereka bangkit melawan rejim Zionis ini. Bagaimana dengan negara-negara Arab, terutama yang mengiktiraf Israel? Lebih teruk daripada TikTok. – HARAKAHDAILY 11/5/2021
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!