Naib Canselor setuju kerajaan laksana PKP 3.0

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 91 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memilih untuk ‘beraya’ di kampus, manakala 1,282 lagi pulang ke kampung masing-masing.

Naib Canselor UMK, Prof Ts Dr Noor Azizi Ismail berkata, pelajar yang tidak pulang ke kampung tetap akan diraikan melalui penyediaan juadah hari raya pada hari raya pertama dan kedua.

Katanya, kebanyakan pelajar memilih untuk tidak pulang ke kampung terutamanya mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak.

- Advertisement -

“Ada juga pelajar yang tidak mahu pulang sebab tidak mahu merisikokan diri dengan penularan Covid-19 dan sebagainya.

“Untuk yang pulang ke kampung, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita tunggu keputusan pihak kementerian untuk menentukan bila mereka akan mula kembali ke kampus.

“Jika diikutkan jadual, pelajar sepatutnya balik secara berperingkat, namun kita tunggu makluman lanjut nanti,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan biskut raya kepada Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) di pejabat NSTP hari ini.

Dr Noor Azizi berkata, sekiranya pelajar dibenarkan pulang mengikut jadual yang ditetapkan, proses kuarantin tetap akan dijalankan seperti biasa.

Katanya, apa yang penting, pelajar yang pulang ke kampung tidak mendedahkan diri dengan persekitaran luar yang membolehkan mereka dijangkiti dan sebagainya.

“Kita sudah pesan banyak kali supaya mereka tidak keluar dari rumah atau memdedahkan diri di tempat tempat awam.

“Jaga keselamatan, jaga prosedur operasi standard (SOP), duduk rumah dengan keluarga, jangan merayau dengan kawan-kawan,” katanya.

Menjawab soalan beliau turut setuju langkah kerajaan melaksanakan PKP 3.0 bermula esok hingga 7 Jun ini.

Kata beliau ia satu langkah yang baik untuk mengekang penularan Covid-19.

“Saya sendiri pun ada anak di luar Kelantan dua orang, saya nasihatkan mereka supaya jangan balik bagi mengelak sesuatu yag tidak diingini berlaku,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/5/2021

- Advertisement -