‘Laksana PKP tak kena, tak laksana pun tak betul’

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

ALOR SETAR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dianggap sebagai langkah tepat bagi melandaikan wabak Covid yang semakin membimbangkan sekarang.

Langkah kerajaan itu bukan untuk menyusahkan rakyat sebaliknya usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang semakin melonjak tinggi kebelakangan ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya berkata, peningkatan kes positif Covid bukan perkara main-main untuk menakut-nakutkan rakyat.

“Dunia menyaksikan kes kematian berpunca daripada wabak tersebut sangat tinggi. Begitu jumlah yang dijangkiti dan dirawat di hospital pun tinggi,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis sumbangan hari raya kepada kakitangan pejabat pentadbiran PAS Kedah di sini.

- Advertisement -

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP lebih ketat di seluruh negara bermula esok hingga 7 Jun sebagai langkah bagi mengekang penularan Covid-19.

Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan 11 pelaksanaan PKP bagi menggalakkan orang ramai berada di rumah termasuk larangan rentas negeri dan daerah.

Ahmad berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan MKN amat wajar dipatuhi untuk mengekang rantaian wabak sekarang.

“Kita memahami menyambut Aidilfitri tanpa kunjung mengunjung dan tidak balik kampung seolah-olah tak sempurna sambutan Hari Raya.

“Tetapi SOP yang ditetap bukanlah menghalang kita berhari raya atau beribadat kepada Allah cuma perlu disambut dengan cara normal baharu,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau penguatkuasaan peraturan tersebut tidak disenangi golongan tertentu yang dilihat sengaja mahu mencetus suasana tidak tenteram.

“Mereka sengaja mewujudkan pertikaian. Laksana PKP tak kena. Tak laksana PKP pun tak betul. Sengaja hasut rakyat agar tidak yakin dengan pendekatan dan kemampuan kerajaan menangani wabak,” tambahnya.

Malah kata beliau mereka sengaja menghukum kononnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal sedangkan kerajaan sentiasa berusaha mempastikan rakyat selamat daripada wabak.

“Takkan nak kata petugas kesihatan pun gagal. Sepanjang masa mereka memakai baju PPE ketika memberi rawatan kepada individu yang dijangkiti.

“Nak buat penilaian tu biarlah adil. Kalau kerajaan gagal kawal wabak sudah tentu keadaan tidak lagi terkawal, namun sekarang masih terkawal,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/5/2021

- Advertisement -