Kita mampu selamatkan diri dan orang lain

COVID-19 yang berasal dari Wuhan, China berjaya diatasi di negara itu

- Advertisement -

MESEJ saya ini mungkin dianggap klise bagi kebanyakan orang, tetapi perlu untuk kita sama kita mengulang pesan; patuhilah SOP. Makin hari kita makin terasa kesan atau impak buruk COVID-19.

Walaupun mudarat dari segi kesihatan dan keselamatan sudah banyak di depan mata, masih ramai yang tidak berpuas hati dengan apa jua langkah diambil oleh kerajaan untuk mengekang wabak ini. Ini krisis. Krisis yang membabitkan nyawa memang akan sentiasa memberi tekanan waima kepada kerajaan yang ada menghimpunkan segala pakar dan punca kuasa sekalipun. 

- Advertisement -

Mungkin di sana sini ada kesilapan dan kelemahan namun dalam keadaan ini, kita haruslah memberikan sepenuh kepercayaan terhadap kerajaan yang sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik. Kita laksanakan peranan dan tanggungjawab kita sebagai orang awam dan let them do their part!

Seperti kata Menteri Besar (MB) Kedah, peranan dan tanggungjawab kerajaan dalam situasi ini adalah seumpama meniti batang yang bulat lagi licin. Nyawa dan keselamatan perlu diutamakan manakala urusan ekonomi tidak boleh dikesampingkan.

Dalam melaksanakan langkah memperketatkan SOP bagi mengekang wabak, kesannya terhadap ekonomi rakyat sudah tentu amat buruk. Mereka yang cari makan dengan berniaga kecil kecilan atau yang meraih pendapatan melalui kerja harian adalah paling terjejas. Kerajaan sudah berhabisan banyak selama lebih setahun ini untuk bantu rakyat yang terjejas. 

Ketika keputusan dibuat dahulu, kita tidak tahu sampai bila keadaan ini akan berlarutan. Sekarang pun kita masih tak boleh jangka selama mana lagi virus COVID-19 akan berlegar dalam komuniti. Justeru, dalam keadaan ekonomi ‘down’ secara amat parah seperti ini, kerajaan sudah tentu tidak mampu untuk terus menyalurkan bantuan dana yang pelbagai nama seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Akhirnya apa yang paling perlu ialah kesungguhan diri kita sendiri untuk berdisiplin mematuhi SOP. Itulah ‘vaksin’ yang paling berkesan untuk kita memutuskan rantaian pandemik ini! Menyalahkan kerajaan atau sesiapa jua pun tidak akan membantu memperbaiki situasi. Hakikatnya ialah semua orang tertekan.

Jika kita berasa kitalah yang paling susah dan terjejas, kita tidak tahu kesusahan yang ditanggung oleh orang lain. Orang boleh kata saya sebagai pegawai MB dengan gaji tetap bulanan hanya tahu bercakap, ya… gaji setakat ini memang masuk akaun bank saya setiap bulan tetapi sebagai anggota frontliners di pejabat MB, adakah saya tidak punya perasaan berhadapan dengan aduan orang yang terjejas dan kesusahan setiap hari?

Dalam negeri ini, pejabat MB adalah seperti hospital besar yang diharap untuk menyelesaikan semua masalah yang gagal diselesaikan oleh semua klinik dan hospital lain. Pendek kata, sesiapa jua yang datang mengadu tidak boleh pulang dengan tangan kosong.

Isteri saya pula bertugas di Hospital Sungai Buloh, pusat rawatan utama masalah COVID-19 negara. Tidak perlu saya jelaskan kerana saya yakin sahabat-sahabat semua boleh jangka sendiri bagaimana risiko dan implikasi ditanggung keluarga kami.

Tekanan masalah duit ringgit mungkin tidak ada tetapi kesan-kesan yang lain tidak kurang beratnya. Pada masa ini, tujuh beranak keluarga sepupu saya sedang menjalani kuarantin setelah didapati positif. Amat menyedihkan apabila kita dengar kes menjangkiti mereka yang begitu menjaga SOP tetapi terkena juga akibat kealpaan orang lain.

Masalah COVID-19 memerlukan kebertanggungjawaban seluruh anggota komuniti secara menyeluruh. Tidak boleh hanya sebilangan orang sedangkan yang lain bebas hidup dengan budaya lama. Kita perlu terima hakikat bahawa cara hidup sekarang sudah tidak boleh macam dulu. Kita perlu hidup dengan norma baharu.

Sekarang kita sudah tidak dengar lagi berita COVID-19 dari Wuhan sedangkan itulah tempat wabak ini dilahirkan. Vietnam juga negara yang berjaya mengawal pandemik ini dengan berkesan. Undang-undang tidak akan mampu kawal masalah tanpa disiplin diri.

Kita jaga diri masing-masing. Insya-Allah Allah akan selamatkan kita. Menyalahkan orang lain sekadar ‘escapism’untuk kita tidak melihat ke dalam diri sendiri dan ini boleh menjerumuskan kita dan keluarga kita ke dalam kancah bahaya nyawa.

MUHAMAD MAT YAKIM
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 11/5/2021

- Advertisement -