Isu pegawai awam: Adilkah pertikai dengan baca tajuk?

AMAT pelik bila Presiden PAS diserang semata-mata kerana menyatakan, pada 9 Mei lalu, satu perkara benar mengenai keperluan untuk pegawai awam mengikut arahan kerajaan. Langsung tidak dinyatakan oleh beliau betapa pegawai awam tidak bebas untuk menyokong mana-mana parti politik atau tidak bebas untuk menentang parti pemerintah.

Sebaliknya, apa yang disebut oleh beliau hanyalah bahawa pegawai awam tidak bebas untuk tidak melaksanakan arahan atau dasar kerajaan apa lagi untuk mensabotaj kerajaan. Jelas disebut ayat pegawai awam ‘mestilah mengikut arahan kerajaan yang dikuasai oleh parti yang memerintah, walaupun mereka tidak menyokong parti yang menjadi kerajaan’.

Advertisement

Jelas juga disebut fenomena tidak betul ‘mereka yang menyokong PH dan berada dalam Kerajaan PH tiba-tiba mengikut arahan PH yang sudah tidak menjadi kerajaan lagi’. Tidak semena-mena beliau dituduh mahu mengamalkan satu pemerintahan kuku besi (dictatorship) yang memaksa rakyat terutama penjawat awam menyokong mereka.

Dan dibuat pula bandingan yang sebenarnya tidak wujud kononnya sebelum menjadi kerajaan beliau giat menyeru rakyat termasuk penjawat awam untuk menentang kerajaan. Begitu bersungguhnya mereka menyerang beliau sehingga ditularkan perbezaan kenyataan ini dengan kenyataan pada 19 April 2019 bertajuk Jangan Musuhi Penjawat Awam’.

Walhalnya kedua-dua tulisan ini memperkatakan satu perkara yang sama sahaja, iaitu keperluan untuk pegawai awam atau penjawat awam mengikut arahan kerajaan sahaja. Bezanya, dalam artikel pertama disebut ketidakwajaran rakyat yang tidak senang dengan kerajaan untuk menyalahkan penjawat awam yang sekadar mengikut arahan kerajaan.

Manakala dalam artikel terbaru yang cuba dijadikan isu pula disebut ketidakwajaran pegawai awam tidak melaksanakan arahan atau dasar kerajaan apa lagi untuk mensabotaj kerajaan. Tetapi begitulah gelagat sesetengah ahli politik kita, demi untuk menimbulkan kebencian kepada seseorang lain, tajuk yang sengaja dicipta oleh musuh pun boleh dijadi hujahan.

Malang sekali rakyat negara kita bila mereka yang bertaraf pemimpin sekalipun boleh tertipu dengan jerangkap musuh dan terus menghentam berdasarkan tajuk tanpa membaca isi.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 11/5/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.