‘Frontliners’ korban kegembiraan raya tidak dilupakan

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: ADUN Beserah, Andansura Rabu telah menyampaikan sumbangan biskut raya sebagai ole-ole sambutan Syawal yang bakal tiba kepada petugas barisan hadapan negara.

- Advertisement -

Sebanyak 1,000 bekas biskut raya telah diberikan kepada setiap anggota di Balai Polis, Balai Bomba dan Penyelamat, Pejabat Kesihatan dan Klinik Kesihatan Desa di sekitar Beserah, kelmarin.

Diketuai sendiri Andansura, aktiviti yang merupakan program tahunan Pusat Khidmat DUN (PKD) Beserah sejak 2013 dan kali ini dilaksanakan dengan tajaan Pertubuhan Cakna Hal Ehwal Wanita (HELWA Care).

“Pada asalnya agihan Biskut Raya PKD dianjurkan kerana beberapa objektif yang paling utama PKD berniat untuk menyantuni golongan sasar yang terpaksa bertugas pada waktu orang lain bercuti terutama pada sebarang perayaan dan cuti umum.

“Yang kedua, mereka ini berkhidmat kepada negara dan saya sebagai wakil rakyat dan pemimpin masyarakat merealisasikan ucapan terima kasih dan penghargaan terhadap korban dan bakti mereka khususnya di kawasan Beserah yang aman damai.

“Manakala yang ketiga, tindakan ini boleh menjadi contoh dan peringatan kepada masyarakat bahawa kegembiraan yang dikecapi hari ini adalah hasil daripada pengorbanan orang lain juga.

“Yang mana mereka (frontliners) terpaksa lupakan kegembiraan untuk bersama keluarga mereka khusus pada hari perayaan mengikut bangsa dan agama masing-masing.

“Besarlah harapan supaya ukhuwah antara petugas barisan hadapan ini dengan masyarakat terjalin erat dan memahami tugas masing-masing lebih-lebih lagi di musim pendemik ini yang mana ia boleh mewujudkan sahsiah diri masyarakat yang sihat dan harmoni,” ujarnya.

Kunjungan anggota rombongan Andansura dan PKD telah disambut setiap pasukan yang ternyata sudah bersiap sedia menunggu kehadiran di pintu utama bangunan masing-masing untuk menerima agihan dengan ceria dan mesra.

Menurut Ahli Jawatankuasa PKD Beserah, Azmoni Mohamed, agihan kepada ‘frontliners’ itu bertujuan mewakili rakyat dalam menyampaikan rasa prihatin atas jasa dan pengorbanan mereka selama ini.

Agihan biskut raya ini telah diteruskan misi oleh pihak PKD yang mengagihkan pula ke Sungai Ular, Cherating dan Chendor bermula dari Kampung Beserah, Balok dan Gebeng. – HARAKAHDAILY 11/5/2021

- Advertisement -