20 rakyat Palestin terkorban dalam serangan udara Israel

KUALA LUMPUR: Seramai 20 rakyat Palestin terbunuh termasuk sembilan kanak-kanak sementara 65 yang lain cedera dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza pada petang Isnin, lapor The Palestinian Information Center.

Advertisement

Kementerian Kesihatan berkata, 20 mayat dibawa ke hospital di Selatan Semenanjung Gaza termasuk mayat sembilan kanak-kanak, satu daripadanya bayi perempuan.

Pesawat perang Israel melancarkan serangan serangkai di pelbagai kawasan terkepung yang dimulakan dengan serangan maut di utara bandar Beit Hanum.

Para pejuang Palestin di Gaza melepaskan roket yang menyasarkan Israel pada awal Isnin sebagai serangan balas terhadap serangan Israel di Masjid al-Aqasa dan kawasan Sheikh Jarrah di Jeruselam Timur beberapa hari lalu.

Beberapa hari lepas, tentera Zionis Israel telah melakukan serangan biadab ke atas umat Islam di Masjid al-Aqsa sehingga mencederakan lebih 178 orang rakyat Palestin yang sedang berkumpul di pekarangan masjid yang merupakan kiblat pertama umat Islam itu.

Tentera rejim Israel melemparkan bom asap, menyerang dan menembak para jemaah di dalamnya dengan peluru getah ketika para jemaah sedang menunaikan ibadah mahupun berlindung akibat pencerobohan mahupun serangan Israel.

Tindakan serangan biadab tersebut mengakibatkan ramai para jemaah yang sedang beribadah dalam Masjidil Aqsa terperangkap terutamanya kanak-kanak dan wanita. – HARAKAHDAILY 11/5/2021