Ziarah, sumbangan Muslimat ke Lipis dan Cameron

- Advertisement -

LIPIS: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang telah mengadakan ziarah dan sumbangan kepada 64 keluarga di Lipis dan Cameron Highlands, semalam.

- Advertisement -

Program dipimpin langsung Ketua Muslimat PAS Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor dan Pengerusi LKK Muslimat PAS Pahang, Dalmah Ismail dengan disertai Ahli-ahli Jawatankuasa LKK Muslimat PAS Pahang.

Program ini bertujuan menyantuni keluarga asnaf dalam kalangan ibu tunggal, miskin, orang kelainan upaya (OKU) dan anak yatim di sekitar Kampung Jeram Landak dan Kampung Sungai Pasu dalam DUN Cheka, di sini.

Malah, rombongan turut memanjangkan kebajikan kepada 44 keluarga Orang Asal termasuk dalam kalangan bukan-Islam di Kampung Meter Pos Betau, Kuala Lipis dalam DUN Jelai, Cameron Highlands.

Sumbangan yang diberikan adalah berbentuk barangan makanan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak dan lain-lain bagi meringankan beban mereka dan keperluan menyambut Syawal nanti.

“Semoga semua gerak kerja ini tidak terhenti di bulan Ramadan ini sahaja tetapi di teruskan berterusan hingga bila-bila. Insya-Allah. PAS diharapkan dapat mendekati masyarakat dan menyelami permasalahan kehidupan harian golongan asnaf ini.

“Mereka ini selalunya golongan yang ditinggalkan dan tidak ramai yang peduli tentang permasalahan mereka. Kita adalah parti Islam, yang bergerak dalam politik dan cakna kebajikan.

“Jadi kita mengharapkan menjadi parti yang terkehadapan mendekati golongan asnaf ini dan sama-sama memperjuangan kebajikan mereka.

“Di samping dapat menyantuni golongan asnaf ini, dapat juga melihat lebih dekat masalah yang mereka hadapi dan mengeratkan hubungan dengan mereka,” ujar Salamiah.

Turut bersama hadir adalah Ketua Muslimat PAS Kawasan Lipis, Khadijah Abd Jamal dan Pengerusi LKK Muslimat PAS Lipis, Hasanah Ludin. – HARAKAHDAILY 10/5/2021

- Advertisement -