Tiga tahun memerintah, tiada istilah berpuas hati

- Advertisement -

HARI ini genaplah tiga tahun usia Kerajaan Negeri Terengganu.

Pagi 10 Mei 2018, dengan motor Honda Cub milik ayah saya pusing kampung jumpa rakyat dihari yang pertama selepas PRU14 setelah pada malamnya di Dewan Majlis Daerah Setiu Sungai Tarom, Calon PAS Jabi diumumkan menang dengan majoriti 55 undi. Ya! 55 undi sahaja setelah cubaan bertanding kali ketiga. Angka majoriti dan jumlah cubaan bertanding cukup untuk menggambarkan betapa getirnya apa yang telah kami lalui bersama sebelum anugerah kemenangan ini menjadi milik kita.

Hari pertama kita masih kekok orang panggil YB, masuk kampung ada yang suruh sembelih lembu buat kesyukuran, ada yang nak buat majlis nak tutup pos pilihan raya, ada yang ajak singgah minum air di rumah, masuk kedai kopi, masuk baruh padi, masuk kebun sawit, singgah masjid dan surau, jumpa orang di segenap tepi jalan. Seingat saya naik motor bersama beberapa orang sahabat. Hasrat kita nak jumpa seramai mungkin orang kampung untuk ucap terima kasih atas segalanya. Mesej yang kedua ialah, semua orang Jabi adalah rakyat kita.

Dalam santai kita dengan seluar baju orang kampung, lebih kurang jam 2 petang terima panggilan dari kepimpinan tertinggi parti mengucapkan tahniah atas kemenangan dan mengarahkan saya hadir ke Istana Syarqiyyah Kuala Terengganu jam 5 petang bagi raptai upacara istiadat angkat sumpah Menteri Besar dan Exco untuk membentuk Kerajaan Negeri Terengganu.

- Advertisement -

Dalam tempoh dua jam kena cari baju melayu hitam, songkok dan sampin kain songket berbenang emas untuk ke istana. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan walaupun saya pinjam songkok sekolah anak dan sampin seorang Adun senior yang dah biasa ke istana.

Istiadat angkat sumpah jawatan MB dan Exco berlangsung pada 10 Mei 2018 kira-kira jam 9 malam, tiga tahun yang lalu. Selesai istiadat, KDYMM Sultan berkenan mencemar duli bertitah kepada kami tentang beberapa perkara berkaitan negeri tercinta ini. Disusuli dengan majlis taaruf ringkas. Buat pertama kalinya patik berpeluang merafak sembah dan berbicara secara berhadapan dengan KDYMM Tuanku.

“Assalamualaikum Tuanku. Patik nama Azman Ibrahim. Asal Besut Terengganu. Dulu belajar di University of Baghdad Iraq dalam bidang Dental Surgery. Adun Jabi penggal yang pertama.”

Begitulah taaruf ringkas saya. KDYMM Tuanku tak ada bertitah untuk bertanya apa-apa maklumat lanjut.

Ketika Istiadat angkat sumpah sebelum itu, saya melangkah mengadap KDYMM Tuanku untuk merafak sembah dan melafazkan sumpah jawatan dan sumpah menyimpan rahsia dengan kaki yang terhincut-hincut atau kecok kata orang Jabi disebabkan kecederaan putus tendon buku lali yang dialami kira-kira empat hari sebelum hari mengundi 9 Mei 2018. Walau cuba tahan sakit dan buat-buat tak ada apa-apa, tapi tetap ketara langkah saya tempang. Pembedahan untuk merawat kecederaan ini hanya dibuat selepas lebih 100 hari memikul amanah kepimpinan negeri disusuli dengan sebulan setengah cuti sakit.

Saya mengimbas memori ini untuk ingatan bagi diri sendiri akan bagaimana perit getir perjalanan yang dilalui oleh semua pihak yang bersama di medan juang sebelum kita sampai pada tahap ini. Doakan semoga saya sentiasa tak lupa akan asal usul dan jasa bakti mereka yang pernah susah bersama.

Saya lulusan dalam bidang perubatan dan kesihatan. Dalam parti selalu diberi tanggungjawab jaga lujnah kebajikan dan operasi bencana. Masuk kerajaan jaga pertanian. Ok je. Tak ada apa yang pelik pun.

Masa awal bentuk kerajaan, bila dimaklumkan saya kena jaga portfolio pertanian, kita terus set minda untuk jadi petani, nelayan dan penternak. Lepas angkat sumpah jawatan di hadapan KDYMM Tuanku pada 10 Mei 2018, 11 Mei saya terus jual klinik di Kota Bharu. Tarikh 14 Mei 2018, kita mula masuk pejabat Exco di Wisma Darul Iman. Pada tanggal 14 Mei 2018, itulah sebenarnya kali kedua saya masuk Wisma Darul Iman setelah memasukinya buat kali pertama ketika darjah 5 tahun 1985 semasa lawatan sambil belajar SK Tembila Besut ke Kuala Terengganu.

Sekarang ini Lesen Pengamalan Tahunan doktor pun kita tak renew dah. Minda kita bukan lagi berjiwa doktor. Saya adalah petani, nelayan dan penternak. Juga jiwa orang kampung dengan kehidupannya sekali.

Kalau ditanya apakah cabaran terbesar untuk mengisi kemenangan ini, tentu saya akan jawab, usaha untuk menyatukan masyarakat dan mengubah cara berfikir rakyat adalah cabaran terbesar. Kita terjemahkan roh penyatuan ummah dengan cara tersendiri di Jabi.

Dari 10 Mei 2018 lagi, kita sudah bersedia untuk bersama membuka era baru bagi masyarakat Jabi. Semua warga Jabi sama ada Melayu, Cina dan Siam ialah saudara kita. Sebelum 10 Mei, bukan saya kata kita duduk era lama. Cuma hasrat murni kita tak dipandang kerana kita tak ada kuasa. Kita mahu orang PAS memandang orang lain sebagai saudara, begitulah juga kita mengharapkan sebaliknya.

Dengan sedikit kuasa yang ada, kita ingin menebarkan keadilan dalam masyarakat. Ada bencana, sakit dan mati semuanya kita santuni. Permohonan tanah kita sokong tanpa mengira warna asalkan memang benar tanah tersebut diusahakan oleh pemohon, tidak bertindan dan menepati syarat. Saya ada senarai panjang nama-nama orang kuat Umno yang telah mendapat geran hak milik tanah zaman kerajaan baru Terengganu ini. RTB Petai Patah Kerandang, antara yang paling awal kita proses pemberian geran hak milik, 100 peratus pesertanya adalah orang Umno. Keadilan bukan hanya teori tapi ia perlu dipraktikkan.

Baik pulih rumah, sama ada kerana uzur atau bencana ribut, orang PAS dapat dan Umno pun dapat. Orang PH dan masyarakat Siam pun dapat. Ada Pengerusi JPKK kita naik atas bumbung rumah bekas JKKK Umno untuk baiki atap yang rosak akibat ribut.

Bantuan seperti baju sekolah, Kad Sejahtera, Dana Raya, JKM, Tabung Darul Iman, Bantuan Covid dan sebagainya kita bagi kepada yang layak. Saya pergi sendiri ke rumah beberapa orang kuat Umno untuk hantar cek bantuan Tabung Darul Iman dan hantar uniform sekolah sebagaimana kita pergi hantar ke rumah orang PAS.

Tak ada seorang pun yang kita tamatkan bantuan JKM di atas sebab kerana dia orang Umno. Kalau ada yang biasa dapat, tapi sekarang tak dapat, sila maklum untuk kita teliti mungkin ada masalah teknikal telah berlaku.

Orang Umno minta sambung bekalan air paip, kita bagi. Minta bantuan bayar bil elektrik kita bagi. Minta bantuan anak masuk universiti kita bagi. Ada kematian, pesakit di hospital, pesakit terlantar di rumah, ibu bersalin dan lain-lain kita ziarah belaka tanpa mengira warna. Pesakit orang kuat Umno yang terlantar sejak bertahun-tahun, Alhamdulillah akhirnya dapat kerusi roda dan katil pesakit zaman kerajaan baru.

Jalan lalu depan rumah orang Umno kita baiki sebagaimana kita baiki jalan depan rumah orang PAS, orang PH termasuk warga Cina serta Siam. Jemputan rumah orang PAS kita hadir sebagaimana juga kita hadir jemputan ke rumah orang Umno. Malah program masyarakat Siam pun kita hadir.

Cuma saya mohon satu sahaja. Berpada-padalah dalam menuntut dan meminta. Mungkin kita rasa bahawa kita layak, tapi ada lagi saudara kita yang lebih layak untuk terima bantuan. Mungkin rumah kita tak baru tapi ada lagi rumah saudara kita yang lebih uzur perlu diutamakan.

Paling banyak dimohon ialah permohonan baiki rumah. Rumah tak akan jadi buruk dalam masa setahun. Kalau buruk maknanya ia telah lama buruk. Saya mengambil tanggungjawab serius dalam hal ini. Setiap tahun kira-kira 120 buah rumah kita telah dibaik pulih dan empat buah dibina baru. Umno, PAS dan Siam semua boleh rasa. Tapi mustahil ianya boleh siap semua dalam masa tiga tahun.

Saya utamakan rakyat yang lebih layak, mungkin kebetulan dia orang PAS. Pandanglah saudara kita orang PAS dengan pandangan kasih sayang. Orang PAS jarang meminta tapi mereka telah dinafikan banyak hak sejak berpuluh tahun yang lalu.

Saya tidak berdendam dan jauh sekali nak membalas dendam tetapi izinkan dan berikan saya peluang untuk memulihkan semula situasi dalam masyarakat. Saya lahir di sini, besar di sini dan hidup bergelumang dengan masyarakat di sini. Lantaran itulah saya sangat memahami bahawa di sana ada hati yang telah terluka puluhan tahun. Penyebab luka tak perlu diungkit lagi. Proses penyembuhan luka dalam masyarakat sangat rumit dan teliti. Ia berkaitan dengan hati dan perasaan.

Sayangi saudara kita sama seagama. Kepada saudara kita yang bukan Islam, kita semua hamba Tuhan. Keturunan Nabi Adam. Cara berfikir dan bertindak mungkin berbeza. Tapi ada titik persamaan yang membolehkan kita duduk bersama.

10 Mei 2018 tarikh Kerajaan Negeri ditubuhkan selepas PRU14. Hari ini tiga tahun usia kerajaan.

Diskriminasi dalam masyarakat kerana perbezaan pegangan politik kita sudah letakkan noktah dari tarikh 10 Mei 2018. Harap episod lama ini tak akan diulang kembali.

Cuma di Jabi tak ada masyarakat orang asli. Kalau ada, tentu sekali mereka juga berhak menerima keadilan walaupun tak undi PAS.

Tiga tahun memerintah ada buat apa? Ini soalan biasa. Panjang kalau nak senaraikan apa yang telah kami buat dalam tempoh tiga tahun ini. Bagaimana kami bekerja untuk mengangkat sektor pertanian dari prestasi KDNK 2.5 peratus pada tahun 2018 kepada enam peratus pada tahun 2019 seterusnya sasaran 10 peratus pada 2020. Memartabatkan pertanian dari suatu sektor yang tak dipandang sebelah mata kepada sektor yang menjadi penyumbang utama kepada peningkatan KDNK Negeri Terengganu berdasarkan Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2019 disamping sektor perkhidmatan.

Saya senaraikan sebahagian projek-projek dan program untuk rakyat yang telah disiapkan dan yang dalam proses pelaksanaan.

Projek dan program yang telah dilaksanakan

1. Hub Pengembangan dan Pemprosesan Cendawan Kg Tempinis Besut. Projek seumpamanya yang pertama di Malaysia dengan kerjasama MOSTI

2. Makmal Kualiti Madu Pantai Timur bersama UMT

3. Pewartaan Pusat Pembenihan Kerapu Hibrid di Pantai Air Tawar sebagai Zon Industri Akuakultur

4. Pemulihan kawasan sawah padi di Pengkalan Nangka, Kg Bharu dan Tok Saboh Besut melibatkan kira-kira 1,000 ekar kawasan sawah padi terbiar

5. Program labuh unjam dan tukun di perairan semua daerah-daerah Terengganu dan program memperkayakan sumber perikanan

6. Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu

7. Himpunan Lembu Sado Pantai Timur

8. Pembukaan semula Pasar Tani Kekal Nyior 7 Besut yang terbiar sebagai Agrobazar

9. Pemulihan Ladang Rimbunan Kaseh Rantau Abang Dungun dengan tanaman Melon Manis Terengganu

10. Peningkatan dan naik taraf infrastruktur sawah padi di Skim Pengairan Bukit Jeruk, Gong Telikong, Gong Macang, Kepala Gajah, Gong Ubi Keling, Tempinis Besut serta Kg Banggol, Jelapang Setiu dan lain-lain

11. Pembukaan kilang makanan ternakan kerjasama Kerajaan Negeri bersama Koperasi Peserta Felcra Berhad (KPFB)

12. Pembinaan slipway dan cool room untuk nelayan Marang

13. Pembinaan cool room dan jeti untuk nelayan Kg Batin Seberang Takir

14. Skim Bantuan Modal Tani dengan peruntukan RM5 juta setahun

15. Tabung Bencana Pertanian dengan peruntukan RM1 juta setahun

16. Pemutihan dan pemulihan tanah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM). Lebih 90% tanah-tanah TKPM telah dipulihkan dan dimajukan semula

17. Pembinaan Empangan Low Weir Kg Che Mohid Setiu bagi membekalkan pengairan kepada 400 ekar sawah padi di Setiu

18. Pembinaan Jeti Nelayan Kg Geliga Kemaman

19. Pusat Pemprosesan Susu Kambing di Jenang Marang

20. Program Pembangunan Hub Lembu Sado

21. Pengeluaran Beras MyGAP Terengganu

22. Pembukaan Kilang Padi Konsortium LPP di Baruh Masin Besut dengan kapasiti pemprosesan 400 mt sehari

23. Kelulusan Lesen Nelayan Sampan kepada 600 nelayan Terengganu setelah lebih 40 tahun mereka berhadapan dengan dilema isu ini

24. Pelbagai bantuan input dan infra kepada petani, penternak dan nelayan

25. Program perlepasan benih ikan ke perairan sungai, tasik dan kolam untuk memperkayakan sumber perikanan

26. Pembinaan rumah tarik bot untuk nelayan Pantai Benting Lintang Besut

27. Pemasangan lampu limpah di Jeti Nelayan Fikri Setiu

28. Program pemuliharaan penyu

Program dan projek dalam proses perlaksanaan

1. Pemulihan Projek Kelapa Matag Kubang Puyu, Langkap

2. Pemulihan tanah sawah Skim Pengairan Jelapang Langkap seluas 700 hektar

3. Pemulihan 8 buah projek ternakan kambing Lembah Kaprima

4. Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Besut, Setiu dan Kemaman.

5. Pemutihan dan pemulihan tanah rizab padang ragut serta pembangunan padang ragut rakyat

6. Projek Jelapang Padi Fasa 2 bagi memperluaskan Jelapang Padi Negeri Terengganu dari 5,000 ha kepada 10,000 ha

7. Program Mu Buat Kami Bantu (MBKB) bersama penternak

8. Program pemulihan tanah terbiar seluas lebih 8,000 hektar

9. Pewartaan kawasan ternakan ikan Kg Pok Kiang dan Pengkalan Gaduh Besut sebagai Zon Industri Akuakultur

10. Program Agroprenur Muda

11. Program pemantapan MPKK

12. Pembinaan Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian Ajil

13. Pembinaan Jeti Nelayan Losong Kuala Terengganu

14. Pembinaan jeti tambahan Pengkalan Nelayan Kg Fikri

16. Pindaan Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu

17. Menyelesaikan isu penerokaan tanah kerajaan secara haram

18. Program melabuhkan tukun dan unjam

19. Projek penanaman lada hitam komersial seluas 500 hektar di Rhu Tapai Setiu kerjasama Kerajaan Negeri dan Syarikat Mc Cormick

20. Kerjasama berterusan dengan agensi penguatkuasa berwajib untuk menangani isu pencerobohan perairan negeri dan penjarahan khazanah laut negeri

21. Pembangunan projek akuakultur, ladang napier, tapak semaian, baja humus dan ternakan lembu dalam ladang sawit melalui anak syarikat Kerajaan Negeri TADC, TDM dan Ladang Rakyat Terengganu.

Masih banyak yang perlu dilakukan. Tiada istilah berpuas hati… – HARAKAHDAILY 10/5/2021

Dr Azman Ibrahim ialah Adun Jabi yang juga Pengerusi Jawatankuasa. Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu.

- Advertisement -