Premis perniagaan ditutup 1 dan 2 Syawal

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Semua premis perniagaan di Pasir Puteh tidak dibenar menjalankan operasi perniagaan sempena Hari Raya Aidilfitri pada 1 dan 2 Syawal ini.

Setiausaha Majlis Daerah Pasir Puteh, Noor Azman Md Nawi berkata, premis perniagaan tersebut termasuk pasar raya, restoran dan premis perniagaan.

Bagaimanapun katanya, pemilik premis perniagaan diberi kelonggaran untuk menjalankan operasi perniagaan pada hari raya kedua dengan syarat kakitangan diberi pilihan untuk bertugas dan dibayar elaun lebih masa.

- Advertisement -

“Operasi perniagaan masih tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara,” katanya kenyataan di sini semalam.

Seluruh Kelantan sebelum ini dikenakan PKP kecuali Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai selama 14 hari bermula 16 hingga 29 April lepas.

Tujuh daerah terbabit adalah Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.

Menteri Kanan (Pertahanan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu pelaksanaan PKP berikutan berlaku peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun PKP di Kelantan disambung lagi sehingga 17 Mei ini.

Operasi perniagaan di Kelantan sejak dikenakan PKP masa operasi sehingga jam 10 malam yang meliputi restoran, kedai, gerai makan, food truck, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk.

Aktiviti penjualan makanan dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran. Manakala ‘dine-in’ tidak dibenarkan.

Begitu juga operasi stesen minyak 6 pagi hingga 10 malam kecuali stesen minyak di lebuhraya dibenarkan beroperasi 24 jam.

Pasar harian, pasar tani, pasar awam dan pasar minggu pula operasi jam 7 pagi hingga 2 petang. – HARAKAHDAILY 10/5/2021

- Advertisement -