Pembunuh dalam diam: Digital Dementia

- Advertisement -

IBNU Khaldun ada mengatakan:

“Jika kita tidak mendidik anak-anak (dengan baik), nescaya mereka akan terdidik oleh zaman.”


Dari tahun ke tahun kita menyaksikan perkembangan teknologi berada pada tahap rencam. Tidak dapat dinafi kegunaannya mampu memudahkan urusan seharian hidup manusia. Lantas dalam masa yang sama turut memberi kesan makar maha negatif. Justeru, bersederhanalah.

- Advertisement -

Evolusi gadjet

Evolusi gadjet amat terkait dengan dunia pendidikan. Apabila dunia dicanangkan perihal teknologi, maka masyarakat berlumba-lumba memperkenalkan peranti mudah alih kepada anak-anak mereka. Bimbang pada ketinggalan zaman dan dianggap jumud.

Kadang, anak yang pandai menekan dan cekap mengawal gadjet dianggap anak yang bijak dan cepat belajar. Walhal, ia satu sisi fahaman yang songsang. Bahkan sebenarnya memberikan mudharat yang besar kepada kanak-kanak.

Menurut Manfred Spritzer seorang Pakar Neurosaintis dan Psikiatri, ketagihan kanak-kanak terhadap gadjet boleh menyebabkan berlakunya kesan Digital Dementia.

Dementia

Dementia (demensia) seringkali dikaitkan dengan nyanyuk. Namun, bukan sekadar nyanyuk tetapi ia adalah sejenis penyakit yang membawa kepada kemerosotan fungsi otak dalam menjalankan aktiviti harian.

Jika dahulu, kita boleh menghafal nombor-nombor telefon kenalan secara banyak, tetapi hari ini ingatan itu diganti dengan menyimpan senarai panggilan hanya di dalam telefon peribadi milik masing-masing.

Jika sebelum ini, kita mudah dalam mengingati info-info tetapi kini kita lebih bergantung kepada teknologi dengan hanya menggunakan hujung jari. Tanpa sedar, lama kelamaan ia boleh menjadi racun kepada perkembangan otak manusia khususnya kepada kanak-kanak.

Dewasa sebelum usia

Usia kanak-kanak adalah waktu mereka belajar dan meneroka dunia. Tetapi apa yang berlaku, kita sibuk kejarkan mereka dengan arus zaman. Atas nama kononnya up-to-date. Kita mahu mereka miliki gadjet peribadi. Kita bangga mereka punya pelbagai akaun media sosial. Kita topengkan mereka dengan gaya hidup ala dewasa di mata dunia.

Ketahuilah, setiap perkara ada fasanya. Jangan dedahkan anak dengan perkara yang belum sampai masanya. Usah langkaui setiap fasa perkembangan mereka. Dan bimbanglah risiko mereka bakal menjadi mangsa arus duniawi.

Umur sesuai miliki gadjet

Tidak ada jawapan yang tepat bagi persoalan: ‘Bilakah usia yang sesuai untuk anak-anak diberi gadjet?’

Umumnya, selagi belum mampu menjana duit sendiri selagi itulah dikira belum cukup dewasa dalam mengendali telefon sendiri. Jika mahu memberikannya atas dasar keperluan, berilah dengan harapan bukan mereka yang bersedia. Tetapi, kita yang perlu bersedia. Bersedia menempuh segala cabaran onak duri dalam menjadi pendidik di akhir zaman ini.

Peranan

Kesimpulannya, tidak salah dalam menggunakan teknologi tetapi ianya perlu dibuat secara berhemah. Berikut merupakan beberapa langkah yang boleh diambil:

(1) Dalam proses pembelajaran, guru digalak menggunakan objek maujud (realiti) bukan sekadar suapan gambaran skrin.

(2) Hadkan limitasi waktu penggunaan gadjet.

(3) Galakkan anak-anak menghafal dan melatih otak dengan permainan-permainan yang memerlukan kemahiran berfikir.

(4) Isi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti luar. Anak-anak perlu didedahkan dengan fitrah alam untuk perkembangan yang baik.

(5) Penggunaan buku fizikal lebih meningkatkan tahap pemahaman kanak-kanak. Bukan semata e-book di skrin.

(6) Wujudkan syarat dan peraturan ketika anak-anak menggunakan gadjet mengikut kesesuaian semasa. Periksa dan pantaulah gadjet anak-anak untuk membuktikan yang kita benar-benar serius dalam mendidik.

Ingatlah, anak merupakan satu amanah. Tugas kita perlu memulangkan semula amanah tersebut dalam keadaan yang benar-benar baik kepada pemilik mutlaknya suatu hari.

NAJWA ZAKARIA – HARAKAHDAILY 10/5/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -