Pemandu teksi, pekerja syarikat pelancongan terima RM520k

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kesempitan hidup 408 pemandu teksi serta lebih 1,300 pekerja di 141 syarikat agensi pengendalian dan pengembaraan pelancongan di Terengganu yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 terus mendapat perhatian kerajaan negeri.

Hari ini, sebahagian daripada mereka mula menerima bantuan wang tunai RM300 seorang hasil insentif khas Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) 2.0 bagi sektor pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata lebih RM520,000 disalurkan melalui insentif khas itu yang diharap dapat meringankan beban kewangan mereka terutama dalam membuat persiapan terakhir menyambut Aidilfitri.

- Advertisement -

“Bantuan ini akan disalurkan kepada semua penerima yang layak secara berperingkat dan akan dimasukkan terus ke akaun masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan itu kepada wakil pemandu teksi dan pemilik syarikat agensi pelancongan yang terpilih di sini hari ini.

Pada Februari lepas, kerajaan negeri menyalurkan bantuan Berkat sektor pelancongan 1.0 sebanyak RM150,200 untuk pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pemandu pelancong bandar dan alam semula jadi, pengayuh beca, pengusaha bot penambang, pemandu bot laju, pengusaha rumah bot Tasik Kenyir serta malim gunung.

Sementara itu, beberapa pemandu teksi yang ditemui Bernama menzahirkan rasa syukur dengan bantuan tersebut kerana dapat menggunakannya untuk membeli barangan keperluan dapur untuk musim perayaan tidak lama lagi.

Ahmad Che Noh, 67 berkata pendapatan sebagai pemandu teksi merosot teruk kerana kedatangan pelancong tidak lagi meriah seperti sebelum berlakunya pandemik COVID-19.

“Nak dapat RM10 sehari pun susah. Ada hari tertentu satu sen pun tak dapat tapi kita faham sekarang ini musim pandemik. Semua yang terlibat dalam industri pelancongan pun terkesan teruk.

“Mujurlah kerajaan negeri prihatin dengan nasib kami beri sumbangan ini. Terima kasih juga kepada Kerajaan Pusat kerana beri RM500 kepada pemandu teksi pada awal tahun ini. Semua bantuan ini melegakan sedikit bebanan kami,” katanya yang mula mencari rezeki sebagai pemandu teksi sejak 1994.

Bagi pemilik syarikat pengangkutan Sri Bumi Holidays, Nor Umirah Nordin, 30, sumbangan kerajaan negeri itu dapat mengukir senyuman untuk enam pekerjanya menjelang Aidilfitri kali ini.

“Syarikat kami memiliki sebuah bas, empat van dan 10 kereta sewa yang berkolaborasi dengan pengusaha resort dan chalet di pulau-pulau peranginan seluruh Terengganu.

“Namun, pandemik memberi tamparan yang sangat hebat kerana pendapatan syarikat merudum teruk hingga 90 peratus. Sebelum ini, tempahan pelanggan lebih 20 pakej setiap hari namun sekarang nak dapat satu tempahan pun susah. Syarikat terpaksa beralih kepada penghantaran barangan untuk kelangsungan operasi sejak tahun lepas,” katanya. – BERNAMA 

- Advertisement -