Muslimat adakan pecutan terakhir 10 Ramadan

- Advertisement -

PAYA BESAR: Muslimat Unit Daerah Mengundi (UDM) Pandan Permai telah menyemarakkan Ramadan dengan mengadakan Solat Sunat Tasbih dan Tazkirah Dhuha di Balai Purnama, Chendering, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Ulamak PAS Kawasan Paya Besar, Ustaz Ahmad Rifa’i Muhammad memimpin selaku iman dan pentazkirah, selain dihadiri Ketua Penerangan DUN Panching, Nora Ahmad dan mantan Ketua Penerangan Muslimat PAS Paya Besar, Ustazah Kamariah Yatim.

Ustaz Rifa’i dalam pengisiannya mengingatkan mengenai seruan supaya merebut peluang bagi memperbanyakkan ibadah di malam-malam akhir Ramadan kerana di dalamnya ada malam Lailatul Qadar.

“Rebut peluang 10 malam akhir Ramadan. Kerana ada satu malam yang sangat berharga yang hadiah daripada Allah untuk kita umat Nabi S.A.W, kerana umur kita ini tidak panjang.

“Apabila Nabi cerita kepada Sahabat R.A kisah golongan umat yang sebelum daripada umat Nabi umur mereka panjang, ibadat mereka hebat dan banyak. Para sahabat cemburu dan iri hati dengar.

“Sebab umur umat Nabi tidak panjang. Nabi bagi tahu yang bermaksud “Umur umat aku di antara 60 ke 70 tahun sahaja”. Kalau lebih (umur), itu dikira subsidi. Kalau subsidi ni sepertinya orang beri sebab ihsan orang je.

“Jadi, jika umur kita lebih dari umur Rasulullah, usia emas sebenarnya, usia yang berharga. Tolong guna sebaik mungkin. Sebab masa kita tidak banyak dah. Bukanlah bermakna orang muda tidak mati. Mati ni bukan syarat tua, bukan syarat sakit. Syarat mati ialah hidup.

“Ada masa berbaki beberapa hari lagi, Ramadan kali ini. Cabaran yang besarnya ialah nak sambut hari raya. Persiapan raya. Jangan persiakan masa yang ada. Sesetengah orang, apabila lagu raya mula berkumandang, ibadat jadi kurang kerana sibuk persiapan raya.

“Sedangkan Ramadan ini akan pergi meninggalkan kita. Kita akan berpisah dengan Ramadan 11 bulan lamanya. Dan dia akan datang balik. Selagi tidak berlaku kiamat, Ramadan akan datang. Tetapi kita dengan Ramadan, adakah kesempatan akan ada lagi untuk kita?

“Gunakan sebaik mungkin, semaksima yang mungkin, peluang dan kesempatan menjadi tetamu Ramadan ini. Mungkin Ramadan ini merupakan Ramadan terakhir untuk kita. Hidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan ibadah,” kata Ustaz Rifa’i. – HARAKAHDAILY 10/5/2021

- Advertisement -