MAFI bantu anak muda ceburi usahawan tani

- Advertisement -

PASIR MAS: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mempertingkatkan usaha bagi menarik minat anak-anak muda terbabit dalam sektor pertanian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, anak muda yang berminat akan diberi bantuan dalam bentuk geran, pinjaman dan kursus.

Katanya insentif itu bagi melahirkan anak muda yang berjaya dan mampu berdikari dalam sektor pertanian.

- Advertisement -

“MAFI berharap anak-anak muda mengambil peluang untuk bergelar usahawan tani dengan mengusahakan tanah-tanah terbiar.

“Sehingga sekarang golongan anak muda yang menceburi sektor pertanian masih di tahap rendah,” katanya selepas program menuai tembikai di Projek Tanaman Tembikai Mukim Gelang Mas Dun Tendong hari ini.

Hadir sama Adun Tendong Rozi Muhammad dan Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan Norbahani Zakaria.

Oleh itu beliau berharap anak-anak muda merebut peluang yang disedia kerajaan dengan mengusahakan tanah-tanah terbiar dengan aktiviti pertanian.

Menurutnya juga mana-mana pihak yang berminat menceburi bidang tersebut diharap dapat memanfaatkan tanah-tanah terbiar melalui dana yang disediakan kerajaan.

“Bagaimanapun inisiatif pemulihan tanah terbiar mesti ada kesungguhan pemilik tanah itu sendiri untuk terus membangunkan tanah milik mereka,” katanya.

Sebelum ini MAFI menyasarkan seramai 750 orang agropreneur muda dilahirkan tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM15 juta.

Program itu bertujuan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sektor agro makanan seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri makanan dan agro pelancongan.

Che Abdullah juga berkata, kementerian terbabit membantu seramai 6,969 agropreneur muda dengan nilai sebanyak RM126.23 juta sejak tahun 2016.

“Daripada jumlah itu seramai 6,908 peserta menerima bantuan dalam bentuk geran berjumlah RM121.96 juta.

“Manakala 61 peserta menerima bantuan dalam bentuk pembiayaan berjumlah RM4.26 juta,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/5/2021

- Advertisement -