Empat lori bawa makanan diagih golongan asnaf

- Advertisement -

BACHOK: Sebanyak empat lori yang membawa muatan Program Food Bank Malaysia (PFBM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk diagih kepada golongan asnaf.

- Advertisement -

Kehadiran lori yang membawa muatan lima dan tiga tan barangan keperluan harian memecahkan kesunyian Kampung Kolam semalam. Program itu diadakan dengan kerjasama Misi Kembara Dakwah (MKD).

Timbalan Pengerusi MKD, Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, pihaknya memilih 10 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan enam lokasi diagih Gerobok Rezeki MKD.

Katanya bantuan itu diagihkan kepada golongan asnaf sempena ketibaan Syawal.

“Gerobok Rezeki MKD membantu penduduk yang terputus bekalan ketika pandemik Covid-19. Turut disediakan susu dan pamper bayi, dewasa yang terlantar.

“Pek raya mengandungi makanan asas dan makanan sampingan untuk asnaf yang kita berharap mereka merasai sedikit kegembiraan pada Syawal ini.

“MKD diberi tanggungjawab mengagihkan sumbangan kepada golongan asnaf kerana kita ada penerima tetap yang menerima bantuan secara bulanan melalui Gerobok Rezeki MKD,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Gerobok rezeki MKD di Kampung Kolam, yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Mumtaz Md Nawi.

Turut hadir Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan Suhaida Suhaimi dan Yang Dipertua Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam, Mohd Farid Abdul Razak.

Majlis Daerah Bachok turut menerima 50 pek untuk disampaikan kepada kakitangan bahagian buruh serta 50 pek diagihkan kepada asnaf di Kampung Kolam melalui Penghulu Mukim Kolam, Mazlan Yusoff.

Dr Wan Martina juga berkata, kerjasama kedua-dua belah pihak dapat diteruskan pada masa hadapan untuk diagih kepada golongan asnaf yang memerlukan bantuan.

“Jadi harapan kita agar KPDNHEP dapat terus memberi sumbangan kepada MKD supaya MKD dapat melaksana dan mengagihkan bantuan food bank kepada golongan yang memerlukan,” kata beliau.

Gerobok rezeki MKD ditempatkan di pejabat MKD di Jelawat, Madrasah Teratak Pulai Jelawat, Kampung Pak Badol, Bachok; Kampung Mahligai, Bachok; Kampung Kadok, Ketereh; Kok Lanas, Ketereh; Labok, Machang dan Pasir Puteh.

Manakala 10 Dun terlibat dengan agihan itu iaitu Dun Jelawat, Demit, Kijang, Pengkalan Kubor, Meranti, Gaal, Kuala Balah, Pulai Chondong dan Selising. – HARAKAHDAILY 10/5/2021

- Advertisement -