Elaun rendah tidak halang guru Pasti curah bakti

- Advertisement -

ARAU: Semua pihak perlu memain peranan bagi membangunkan ummah termasuk memperkasakan semula ekonomi ketika negara sedang berdepan dengan wabak Covid-19.

Adun Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim berkata, sebahagian besar rakyat terkesan dengan penularan wabak tersebut.

Katanya, paling terkesan mereka yang tinggal di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana aktiviti ekonomi agak terbatas.

- Advertisement -

“Jadi mereka perlu bangkit semula bagi meneruskan kelangsungan kehidupan keluarga,” katanya pada majlis penghargaan ‘Jasamu Dikenang’ di Markas PAS Semut Gatal semalam.

Pada majlis itu aktivis masyarakat termasuk imam, amil masjid, guru Pasti dan guru al-Quran menerima sumbangan daripada Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dun Guar Sanji.

Program itu turut mendapat kerjasama NGO Guar Sanji Care (GS Care), GS Prihatin dan Majlis Tindakan DUN Guar Sanji.

Mohd Ridzuan juga berkata, sumbangan itu diberi sebagai menghargai jasa bakti mereka terhadap masyarakat khususnya di Dun Guar Sanji.

Menurutnya juga golongan terbabit merupakan komponen penting kepada penduduk kampung.

Sementara itu di majlis lain di seramai 70 guru Pasti Kangar menyertai majlis khatam al-Quran yang diadakan di Surau Behor Janggus semalam.

Pada majlis itu guru Pasti turut menerima sumbangan duit raya yang disampaikan wakil Dewan Pemuda PAS Kangar, Abu Harith.

Program serupa juga diadakan di Arau sebagai usaha menghargai jasa guru-guru Pasti yang berkorban mendidik anak-anak bangsa.

Pemangku Yang Dipertua PAS Arau, Ruselee Eizan berkata jasa guru Pasti dalam menjayakan agenda pendidikan awal kanak-kanak tidak dapat dinafikan lagi.

“Walaupun kebanyakan mereka menerima gaji yang rendah, namun itu bukan ukuran, sebaliknya guru-guru Pasti tetap memberi perkhidmatan yang terbaik.

“Sehingga sekarang Pasti berjaya menawan hati ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke institusi pendidikan tersebut,” ujarnya.

Turut hadir Ketua Dewan Muslimat PAS Arau Husna Hashim dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan berkenaan Amrul Amri Chan. – HARAKAHDAILY 10/5/2021

- Advertisement -