Bekalan air mencukupi sempena Aidilfitri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyediakan bekalan air dengan kapasiti optimum kepada pengguna menjelang Hari Raya Aidilfitri bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air.

Ketua Jabatan Operasi AKSB Mohd Ashri Awang berkata, sebelum ini gangguan bekalan air yang sering berlaku setiap kali sambutan Hari Raya.

Namun katanya masalah itu dijangka dapat diminimum memandangkan kapasiti bekalan air yang dikeluarkan dari loji mencukupi.

- Advertisement -

“Peningkatan pengguna juga dijangka tidak berlaku secara mendadak seperti sebelum ini. Namun kita sedia membekalkan air kepada pengguna dengan kapasiti yang optimum.

“AKSB juga menyediakan tangki air statik di kawasan-kawasan yang kita kenal pasti mengalami kekurangan bekalan air di musim perayaan,” katanya pada sidang media di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Kata beliau tangki air statik akan ditempatkan di lokasi ‘hotspot’ bagi memudahkan sistem agihan bekalan air di kawasan berkenaan.

AKSB menyediakan lebih 400 tangki air statik dan 30 lori tangki air bagi tujuan tersebut.

Menurutnya juga jumlah pengeluaran air di Kelantan sekarang sebanyak 527 juta liter sehari, di mana ia mencukupi untuk kegunaan 500,000 akaun.

Ini kerana kata beliau purata terkini akaun pengguna iaitu sebanyak 267,000 boleh memberi manfaat kepada 1.1 juta jumlah pengguna di seluruh Kelantan. – HARAKAHDAILY 10/5/2021

- Advertisement -