Institusi ulama, mufti perlu dihormati

- Advertisement -

KOTA BHARU: Masyarakat terutamanya umat Islam dinasihat agar menghormati pandangan mufti dan institusi berkaitan berhubung fatwa demi mencapai perpaduan kukuh sesama masyarakat dalam negara, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata, masyarakat seharusnya tidak wajar meremehkan pandangan atau fatwa yang dikeluarkan oleh mufti dan dijadikan sebagai pertikaian terutama di media sosial walaupun tidak bersetuju dengan sebarang pandangan yang dikeluarkan kerana institusi itu bertanggugjawab dalam urusan berkaitan fatwa.

“Sebenarnya kita perlu menghormati institusi mufti kerana ia yang terakhir bertanggungjawab tentang urusan agama yang berkaitan dengan fatwa, soalan berbangkit dan hukum hakam agama.

- Advertisement -

“Jadi kita mesti hormat supaya ada perpaduan yang kukuh. Jika semua orang ingin pakai pandangan sendiri, tidak rujuk pandangan akhir daripada mufti, maka berlakulah perpecahan berterusan dalam masyarakat.

“Ini satu perkara tidak wajar, institusi ulamak dan mufti ini perlu dihormati walaupun kita ada pandangan sendiri yang agak berbeza, itu adalah kaedah yang terbaik untuk memupuk perpaduan di antara masyarakat Isam,” katanya.

Menurutnya, setiap pandangan yang dikeluarkan oleh institusi berkenaan bukan dibuat secara semberono kerana ia melibatkan prinsip Islam dan penyelidikan secara holistik sebelum sesuatu fatwa dikeluarkan.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri kepada anak-anak yatim di Madrasah Al Uzma Lil Aitam, Kampung Cekok, Pengkalan Chepa, petang semalam.

Mengulas berhubung pelantikan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Dato’ Seri Amrin Awaluddin, katanya ia perlu dihormati kerana telah diputuskan oleh pimpinan negara.

“Pertama sekali kita sangat menghormti pelantikan baru kerana ia diputusakn oleh pimpinan negara. Bukan senang untuk kita mencari calon bagi seorang pegawai eksekutif bagi sebuah intitusi dan badan agama yang begitu disanjung tinggi oleh masyarakat.

“Jadi pemilihan Dato’ Amrin Awaluddin merupakan satu pemilihan yang tepat pada saya dan insya-Allah beliau boleh terus membawa kemajuan kepada Tabung Haji itu sendiri dan beliau juga ada pengalaman sebelum ini termasuk pernah memegang jawatan CEO bagi Lembaga Tabung Amanah Angkatan Tentera,” ujarya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Justeru itu, katanya dengan pengalaman yang ada itu pihaknya optimis dan percaya akan kredibiliti Amrin untuk membawa Tabung Haji ke arah lebih baik. – HARAKAHDAILY 9/5/2021

- Advertisement -