49 aduan diterima menerusi aplikasi WFW

- Advertisement -

YAN: Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah menerima sejumlah 49 aduan berhubung permasalahan berkaitan pelbagai isu perburuhan menerusi aplikasi ‘Working For Workers’ (WFW) sejak ia dilancarkan Isnin lepas.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata aplikasi itu diwujudkan bagi melindungi pekerja termasuk warga asing sekiranya berlaku ketidakadilan daripada mana-mana pihak yang terlibat dalam urusan pekerjaan.

- Advertisement -

“Sejak 3 Mei hingga semalam, sebanyak 49 aduan telah dilaporkan menerusi aplikasi WFW ini. Selangor mencatatkan aduan tertinggi iaitu 15 kes diikuti Kuala Lumpur (14), Kedah (5), Johor (4), Perak dan Pulau Pinang (3), Sarawak (2) manakala Melaka, Pahang dan Terengganu masing-masing mencatatkan satu kes.

“Pecahan aduan yang diterima melalui aplikasi WFW ini adalah sebanyak 24 kes daripada pekerja tempatan, 24 kes daripada pekerja warga asing manakala satu kes melibatkan pegawai dagang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Pra-Syawal di Pasar Tani Guar Chempedak di sini hari ini.

Beliau berkata status bagi kesemua aduan yang dilaporkan telah disahkan pihaknya yang banyak melibatkan isu pekerja diberhentikan tanpa notis, tidak dibayar gaji dan tiada kontrak pekerjaan.

Awang berkata kementerian juga menjangkakan jumlah aduan akan terus meningkat terutama selepas Pusat Tenaga Kerja (PTK) akan mula beroperasi bagi menerima aduan bagi pekerja di Sabah dan Sarawak.

“Aplikasi ini juga boleh digunakan oleh penjawat awam tetapi sedia maklum mereka mempunyai prosedur dan lembaga displin sendiri, jadi tiada masalah buat mereka. Tetapi, aplikasi ini terbuka kepada semua yang ingin membuat aduan,” katanya.

Pada Isnin lepas, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata aplikasi WFW itu akan menjadi platform kepada 15.7 juta pekerja termasuk warga asing untuk mengemukakan aduan dan permasalahan berkaitan isu perburuhan.

Ia bagi memastikan hak dan kebajikan pekerja yang terkesan akibat salah laku majikan terbela selain dapat memastikan majikan dan pekerja patuh kepada undang-undang perburuhan negara. – BERNAMA

- Advertisement -