YWM-Maybank terbit dana aset wakaf

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Waqaf Malaysia pada 3 Mei 2021 telah bersetuju bagi Yayasan Waqaf Malaysia untuk menjalinkan kerjasama dengan Maybank Asset Management dalam menerbitkan sebuah produk pelaburan dana Islam runcit patuh syariah iaitu Dana Maybank Mixed Assets-I Waqf.

Bagi tujuan ini, pihak Maybank Asset Management telah bersetuju untuk melantik Yayasan Waqaf Malaysia sebagai penerima dan pengurus dana wakaf yang disumbangkan oleh pelabur. Sebuah jawatankuasa bersama yang dianggotai oleh Yayasan Waqaf Malaysia dan Maybank Asset Management akan ditubuhkan untuk menetapkan agihan dana wakaf.

- Advertisement -

Dengan wujudnya pelbagai kerjasama dalam memperkasakan wakaf, tidak mustahil suatu hari nanti, wakaf boleh dijadikan sebagai sektor ketiga Negara yang menjadi pelengkap kepada sektor awam dan swasta. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak Maybank Asset Management Sdn. Bhd. kerana telah mengambil inisiatif segera dalam merealisasikan hasrat kerajaan ini.

Menerusi Belanjawan 2021, pihak kerajaan komited dalam memperkasakan pengurusan wakaf dengan memberi penekanan terhadap peranan wakaf sebagai sebahagian daripada agenda inklusif kerajaan melalui kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia dengan agensi Kerajaan Persekutuan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Menerusi kerjasama ini, masyarakat dan pelabur boleh menyumbang sebahagian atau keseluruhan pendapatan yang diperolehi, kepada dana wakaf melalui platform yang disediakan hasil kerjasama ini. Sebagai makluman juga, dana wakaf yang diterima hasil kerjasama ini akan diurus sepertimana wakaf tunai sedia ada di Yayasan Waqaf Malaysia. Memandangkan wakaf tunai Yayasan Waqaf Malaysia adalah sebuah projek berkepentingan nasional, bagi setiap dana yang diwakafkan, para pelabur layak menikmati potongan cukai tertakluk kepada 7 peratus kepada individu dan 10 peratus kepada syarikat daripada pendapatan agregat tahunan di bawah Seksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Setiap dana wakaf yang diterima ini, akan diagihkan kepada projek-projek wakaf yang telah dikenalpasti di seluruh negara dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri selaku pemegang amanah tunggal hartanah wakaf di negeri masing-masing.

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 7/5/2021

- Advertisement -