UniMAP sedia 20 bas hantar pulang pelajar

- Advertisement -

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyediakan 20 bas bagi menghantar pelajar pulang berhari raya bersama keluarga sempena sambutan Aidilfitri, bermula malam ini.

Seramai 1,927 pelajar akan dihantar pulang ke kampung halaman dengan dibahagikan kepada empat zon iaitu Zon Pantai Timur, Zon Selatan, Zon Utara dan Zon Tengah.

Zon-zon terbabit masing-masing mewakili Kelantan dan Terengganu; Johor, Melaka dan Negeri Sembilan; Perak, Pulau Pinang dan Kedah; serta Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Pahang.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof Ir Ts Dr Mohd Rizal Arshad, penghantaran pulang itu mematuhi peraturan yang ditetapkan.

- Advertisement -

“Kita melaksanakan penghantaran pulang mengikut zon pada masa yang berbeza bermula malam ini sehingga 9 Mei 2021,” katanya yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor UniMAP ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya juga inisiatif menyediakan bas kepada pelajar untuk memastikan keselamatan mereka terjamin agar bebas jangkitan wabak Covid-19.

Katanya, penggunaan pengangkutan awam tidak dibenarkan sama sekali.

“Hanya tiga kaedah penghantaran sahaja yang dibenarkan iaitu kenderaan sendiri, diambil oleh ibu bapa atau penjaga dan pengangkutan yang disediakan UniMAP,” katanya.

Beliau berkata, pelajar yang akan kembali ke kampus nanti juga akan menggunakan kaedah yang sama bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan Covid-19.

“Kita akan mengambil semula pelajar dari kawasan PKPP dan PKPB yang perlu kembali ke kampus berdasarkan enam keperluan seperti ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2021

- Advertisement -