Terbukti Pulau Pinang bergantung sumber air Kedah

ALOR SETAR: Cadangan penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda (LLUM) oleh Perbadanan Bekalan Air (PBA) Pulau Pinang dianggap tidak selari hasrat Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebelum ini.

LLUM yang dicadangkan PBA Pulau Pinang ditubuh untuk mengurus sumber air Sungai Muda, sedangkan matlamat penubuhan Lembaga Lembangan Sungai Muda (LLSM) oleh KASA untuk mengawal selia sungai yang mengalir melalui sempadan dua negeri.

Sebaliknya LLUM ditubuh antara tujuannya untuk mengurus sumber air mentah sehingga ke hulu kawasan Kedah.

Advertisement

Oleh itu Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menganggap kerajaan DAP Pulau Pinang cuba mencampuri urusan dalaman Kedah.

Sedangkan Kedah sebuah negeri berdaulat yang mempunyai Undang-undang Tubuhnya sendiri.

Katanya Kedah merupakan negeri berdaulat yang ada kerajaan, rakyat dan undang-undang serta sultan.

“Kedah juga ada Menteri Besar, Exco dan wilayah berdaulat. Jadi jangan suka-suka campur tangan hal urusan wilayah Kedah.

“Kekerapan Kerajaan DAP Pulau Pinang cuba mencampuri urusan Ulu Muda membuktikan sememangnya negeri itu bergantung sumber air mentah dari Kedah.

“Tetapi dalam masa yang sama mereka enggan bayar apabila kita buat tuntutan. Mengaku ambil air orang tapi tak mau bayaq,” katanya kelmarin.

Pada akhir tahun lepas kerajaan Kedah menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) membayar caj RM50 juta setahun kerana menggunakan sumber air mentah dari negeri itu.

Malah Kedah menyifatkan PBAPP menjana keuntungan hasil air mentah yang mengalir dari Kedah untuk kegunaan di kawasan industri dan sektor perkapalan.

Sehingga sekarang kerajaan Pulau Pinang tidak pernah membayar caj sumber air mentah yang digunakan.

Pulau Pinang menggunakan 1.1 juta liter padu sehari daripada Sungai Muda berbanding Kedah yang menggunakan 800,000 liter padu. – HARAKAHDAILY 7/5/2021