Polis ‘jaga’ plaza tol, jangan ingat boleh rentas negeri

- Advertisement -

IPOH: Mana-mana pengguna lebuh raya yang didapati mempunyai kadar bayaran tol tidak munabasah dan tinggi akan dikenakan kompaun selain diarah berpatah balik ekoran kesalahan rentas negeri, kata Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Beliau berkata ini antara strategi digunakan pihaknya dalam membanteras pergerakan rentas negeri khasnya sewaktu musim perayaan selain usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 ke negeri ini.

- Advertisement -

“Akan ada pemeriksaan (oleh beberapa anggota di plaza tol), tetapi tidak kepada semua kenderaan. Kalau kita buat terlalu ketat seperti pemeriksaan semua kenderaan, akan menyebabkan kesesakan lalu lintas. Kita mungkin tengok pada kadar bayaran tol.

“Contohnya bila bacaan tol itu tinggi seperti dari Jalan Duta, kita akan hentikan kenderaan tersebut untuk tindakan kompaun dan arah pengguna berpatah balik kecuali mereka yang ada surat pelepasan. Ini satu daripada strategi.

“Kadang-kadang ada yang pandai keluar tol itu ini untuk elak dikesan rentas negeri. Mereka ada pelbagai taktik. Kita tidak mampu periksa semua pengguna jalan raya. Berilah kerjasama kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara hari ini. – BERNAMA

- Advertisement -