Penghantaran pulang pelajar ikut SOP MKN

- Advertisement -

BACHOK: Operasi penghantaran pulang pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga hari ini berjalan lancar.

Program itu dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Fasa 1 rombongan 160 pelajar melibatkan lima bas untuk pergerakan ke destinasi Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Pahang dan Terengganu.

- Advertisement -

Fasa II akan diadakan esok melibatkan seramai 163 pelajar UMK menggunakan lima bas untuk pergerakan zon utara.

Secara keseluruhannya operasi tersebut membabitkan seramai 323 pelajar dengan menaiki bas yang disediakan universiti.

‘Projek Raya’ UMK itu keseluruhannya melibatkan seramai 1,282 pelajar termasuk perjalanan dengan penerbangan seramai 51 orang.

Selain itu ibubapa datang mengambil di kampus seramai 531 orang dan seramai 371 pelajar terlibat latihan industri di seluruh negara.

Pelajar terbabit akan kembali semula ke kampus bermula 15 dan 16 Mei ini dan mereka akan diletakkan dalam pengasingan selama 10 hari.

Pelepasan pulang pelajar disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Razli Che Razak.

Pelepasan dilakukan setelah Pusat Kesihatan UMK melakukan pemeriksaan suhu dan saringan kesihatan terhadap pelajar serta proses sanitasi bas.

Turut hadir Pengarah Pusat Islam UMK, Prof Madya Dr Mohd Zain Mubarak dan Pengarah Pusat Kesihatan Universiti Dr Aswan Ismail.

Misi penghantaran pelajar tersebut mendapat kerjasama Pusat Islam UMK, Pusat Kesihatan Universiti, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Pimpinan Kolej Kediaman (JPKK).

Selain itu kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur serta Bahagian Keselamatan. – HARAKAHDAILY 7/5/2021

- Advertisement -