Pematuhan SOP di negara kita masih lemah

- Advertisement -

PELBAGAI usaha telah dilakukan kerajaan bagi membendung wabak Covid-19 daripada terus merebak dari sehari ke sehari.

Mutakhir, immunisasi telah dimulakan walaupun masih belum menyeluruh kepada rakyat Malaysia disebabkan bekalan yang terhad.

Selangor sebagai sebuah negeri maju dengan jumlah rakyat yang teramai sentiasa bergerak dalam aktiviti harian, berhadapan dengan risiko jangkitan yang tinggi.

Enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dikuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 6 Mei hingga 17 Mei ini.

- Advertisement -

Manakala tiga daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Justeru, pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu dilakukan dengan penuh serius bagi membendung jangkitan wabak Covid-19.

Keyakinan bahawa penyakit ini datangnya dari Allah sudah tentulah Allah yang akan menariknya semula, kita harus terus berusaha untuk menghindari jangkitan bak kata tagline ‘kita jaga kita’.

Secara umumnya kepatuhan kepada SOP masih lemah lagi terutama di negeri Selangor dan juga negara.

Sebab itu saya berpandangan dari awal lagi menekankan soal pendidikan dan penguatkuasaan, ia bukan hanya diserahkan kepada pihak berkuasa tetapi autoriti disemua peringkat kepimpinan dan NGO.

Saya pernah menyebutkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahli Majlis (PBT) dan Jawatankuasa Pertubuhan Pengurusan Taman Perusahaan (IPMC) harus memainkan peranannya di Selangor.

Malah saya juga pernah menyarankan kepada kerajaan negeri agar mewujudkan jawatankuasa seperti COMBI dalam membantu kerajaan untuk terus memberi pendidikan dan melakukan penguatkuasaan kepada rakyat.

Kerajaan juga sepatutnya memgambil kesempatan dengan pelaksanaan PKP menganjurkan aktiviti ‘kebun kita’.

Di samping berkebun sebagai aktiviti riadah, ianya akan menghasilkan sumber makanan sayuran yang baharu bagi meningkatkan immuniti dan secara tidak langsung mengurangkan perbelanjaan harian.

Ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja sama ada yang tinggal di bandar atau luar bandar.

Sekali lagi saya mahu menyarankan rakyat agar benar-benar mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan, tingkatkan immuniti dengan aktiviti riadah dan makan lebih banyak sayuran dan buahan serta minum air yang secukupnya.

Rakyat perlu mengambi immunisasi seperti yang disarankan oleh kerajaan, di samping teruskan berdoa agar wabak Covid-19 ditarik semula oleh Allah SWT, insya Allah negara kita akan selamat. – HARAKAHDAILY 7/5/2021

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Selangor.

- Advertisement -