KUALA LUMPUR: PAS yakin Umno tidak mudah menghulur tangan persahabatan dengan DAP walaupun Setiausaha Agungnya, Anthony Loke mendakwa parti itu bersedia bekerjasama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, Umno tidak akan mempertaruhkan perjuangan mereka dalam membela nasib orang Melayu-Islam dengan menerima pelawaan tersebut.
“Meskipun sebelum Muafakat Nasional (MN) terbentuk, perbincangan dalam kalangan ahli-ahli parlimen sama ada dalam kumpulan mahupun secara individu sentiasa diadakan dalam tempoh 22 bulan Pakatan Harapan memerintah.
“Saya yakin tidak mudah kepada Umno, terutama ahli-ahlinya untuk menerima PKR dan DAP yang akan merugikan dan memecah-belahkan orang Melayu,” ujarnya kepada Harakahdaily selepas program tazkirah Zohor Ramadan, di sini, pada Rabu.
Bagaimanapun katanya, ada sesetengah pihak yang cuba untuk meniup api perbalahan dengan mendakwa PAS pernah menjalin kerjasama dengan parti terbesar kaum Cina itu.
“Ada orang cuba mengapi-apikan, kalau PAS pernah bekerjasama, kenapa Umno tak boleh bekerjasama.
“PAS bekerjasama atas kesedaran pada masa itu untuk menyampaikan dakwah yang lebih luas dengan memberikan maklumat dan kesedaran bahawa Islam ini adalah agama yang sangat toleransi.
“PAS adalah parti yang sangat toleransi dan kiranya ada toleransi daripada kepimpinan DAP, maka kerjasama ini dapat diteruskan sebaiknya untuk kepentingan negara ini pada ketika itu.
“PAS cukup berpengalaman, rupanya bila PAS dan DAP bersama masih tidak dapat menyiram api kebencian DAP terhadap Islam, kebencian DAP cukup kuat yang menyebabkan apa yang PAS cuba nak buat walaupun kita sudah ada persefahaman, tetapi masih tidak sealiran.
“Sebagai contoh ketika kerajaan negeri Kelantan nak melaksanakan hukum hudud, mereka dilihat terpaksa bersetuju atas dasar untuk menghormati keputusan parti.
“Bila kita nak laksanakan hukum hudud dan sebagainya yang mana tidak melibatkan orang bukan Islam, tiba-tiba dia menentang.
“Sepatutnya dia tidak menentang, dia bersetujulah walaupun tidak bersetuju kerana itu adalah perjuangan PAS yang tidak melibatkan orang bukan Islam. Maknanya kebencian mereka sampai begitu sekali,” ujar beliau yang Ahli Parlimen Tumpat.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II tidak menafikan ia merupakan agenda parti itu untuk memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan gerakan atau parti-parti yang dimiliki orang Islam dan Melayu. – HARAKAHDAILY 7/5/2021