Kerajaan sedia bantuan perumahan untuk nelayan

- Advertisement -

LUMUT: Pengorbanan para nelayan menempuh risiko gelombang samudera bagi memastikan bekalan makanan dari sumber laut mencukupi untuk dinikmati oleh rakyat merupakan satu jasa yang amatlah perlu dihargai.

Sehubung itu, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada golongan nelayan bagi memastikan mereka tidak terpinggir, termasuklah menyediakan kemudahan bantuan antaranya baik pulih dan pembinaan rumah.

- Advertisement -

Hal ini terbukti sebagaimana Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kategori Bina Baharu Dibawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Perak’ di Manjung, di sini semalam. 

Majlis telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria yang memberitahu inisiatif seumpama turut disediakan agensi lain kepada nelayan.

Selain, LKIM, beliau menyenaraikan bantuan rumah dan pelbagai insentif lain untuk komuniti itu disediakan pihak FELCRA, Baitulmal dan lain-lain yang berfokus bagi memberdayakan golongan B40.

“Sebab itu menyentuh isu perumahan, kita banyak juga agensi-agensi yang bagi perumahan ini selain daripada khusus yang dibawa LKIM yang bagi bantuan. Ada lagi yang kerajaan (bagi) yang khusus kepada B40 dan nelayan-nelayan juga termasuk di bawah skim itu.

“Kerajaan usaha bagi rumah, bukan sahaja LKIM bagi FELCRA pun ada bagi, Baitulmal pun ada bagi dan beberapa agensi pun ada bagi.

“Cuma lagi satu tadi, Kita punya rumah prihatin khusus PMR yang boleh diminta juga di Pusat Khidmat DUN. Kerajaan negeri juga ada menyediakan rumah untuk B40,” ujar Razman.

Dalam program tersebut turut berlangsung sesi ‘engagement’ nelayan Manjung Selatan dan penyerahan bantuan zakat kepada asnaf dan surau komuniti nelayan. 

Turut hadir Timbalan Pengarah LKIM Perak, Adib Syazwan Mohamad Hassan dan Pengerusi Pertubuhan Nelayan Kawasam Daerah Manjung, Wahid Ridwan. – HARAKAHDAILY 7/5/2021

- Advertisement -