Kerajaan PH jatuh angkara dalaman

- Advertisement -

KETIKA pembangkang beria-ia sangat mendesak persidangan parlimen diadakan segera, tanpa sedar tempoh proklamasi darurat semakin ke penghujung. Ia dijangka berakhir 1 Ogos ini. Ini bermakna demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 makin dekat. Kemungkinan besar kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi laluan PRU berbanding persidangan parlimen. Sebaliknya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan PRU tidak sesuai sekarang. Baginya biarkan tempoh penggal ke-14 tamat pada 2023. Oleh itu bagi melihat dari dekat demam PRU15, ikuti pandangan dilontarkan Pengarah Pusat Kajian Strategik (PKS) Negeri Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof ketika ditemui LANJUSOH baru-baru ini. Transkrip MUHAMMAD ARIF ISMAIL.

- Advertisement -

Harakah: PRU14 menyaksikan pertama kali dalam sejarah negara, teraju kerajaan beralih tangan kepada Pakatan Harapan (PH). Mungkin tuan haji melihat ada kelebihan kerajaan PH ketika itu?

Dr Wan Nik: Perkembangan politik negara kita secara khususnya, yang melibatkan kerajaan pusat dan negeri serta parti-parti yang mendukung dua paras kerajaan ini sebenarnya semakin dalam bahang panas dan dilihat secara unpolitical minded yakni berkecamuk.
Namun bagi mereka yang terlibat dalam politik dan parti, perkembangan itu dianggap sebagai perkara biasa. Itu atas sifat pengalaman dan penghayatan. Berdasarkan penglibatan Pusat Kajian Strategik dalam kajian sosiopolitik terutamanya di Kelantan, situasi sekarang memperlihatkan satu keadaan luar biasa berbanding sebelum ini.
Malah boleh dikatakan di negara kita setiap 10 tahun sekali akan berlaku gelombang politik. Contohnya pada 1987 berlaku pergolakan dalaman Umno. Kesan pemilihan Umno pada 1987 menyebabkan Umno gagal mempertahankan kerajaan Kelantan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990.
Kemudian pada 1999 berlaku lagi isu apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada Umno. Berlaku reformasi dan gelombang politik.
Dan pada 2008 selepas Anwar dibebaskan daripada penjara berlaku lagi gelombang politik. Malah ketika itu muncul gerakan dianjurkan Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih). Dan sekarang berlaku gelombang hasil cetusan atas nama penyatuan Melayu. Perubahan yang ketara 2018 berlaku ekoran kejatuhan kerajaan BN.
Sepatutnya selepas PRU14 keadaan menjadi lebih lenang, namun tidak begitu. Ketika PH menguasai pentadbiran negara berlaku pergolakan dalaman politik negara.
Umno dan BN setelah tidak lagi menjadi kerajaan dilihat mereka seperti tidak dapat menerima hakikat mereka kalah. Jadi mereka melakukan gerakan-gerakan politik bagi mengancam kestabilan kerajaan PH.

Apa faktor utama PH jatuh dalam masa singkat?

PH memerintah hanya bertahan selama 22 bulan kerana gelombang dalaman mereka sendiri. Sedangkan sebelum itu mereka mengakui Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pilihan mereka.
Namun di sebalik itu berlaku gerakan dalaman PH untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Mereka tidak sabar untuk menunggu seperti yang dijanjikan.
Jadi tidak cukup dua tahun Dr Mahathir mentadbir akhirnya dia letak jawatan kerana berdepan dengan gangguan dalaman. Kaedah di negara kita apabila perdana menteri meletak jawatan maka seluruh kabinet juga secara automatik dianggap meletak jawatan.
Ini secara konsensus kerana nama-nama menteri dicadangkan oleh perdana menteri untuk diterima oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum mengangkat sumpah menerima jawatan.
Fakta yang bersifat perundangan dan perlembagaan begitu disembunyikan kepada pengetahuan awam. Tujuan mereka sembunyikan kelemahan dalaman dan sebaliknya tonjolkan kelemahan kerajaan Perikatan Nasional.
Sedangkan hakikat sebenar mereka sendiri bertelagah sehingga Dr Mahathir meletak jawatan. Jadi bagi menyembunyikan isu mereka divert pemikiran rakyat kononnya kejatuhan kerajaan PH kerana gerakan pembangkang. Di mana mereka cuba menyembunyikan masalah mereka sendiri.
Sebab itulah mereka cuba jaja istilah kerajaan PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai kerajaan tebuk atap, kononnya berlaku di luar lingkaran kebiasaan.
Istilah itu dicipta oleh mereka yang kecewa hasil gelombang dalaman PH 22 bulan, di mana Dr Mahathir mengambil keputusan meletak jawatan.
Sedangkan itu sebenar berlaku. Ia adalah masalah dalaman PH dan bukan kerana gerakan daripada PAS atau Umno atau Bersatu.
Dr Mahathir juga meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu. Biarpun pada peringkat awal cuba dipujuk supaya kembali ke pangkuan Bersatu, namun Dr Mahathir membuat hubungan pula dengan PKR dan DAP.
Akhirnya pemimpin Bersatu secara total berkiblat kepada Muhyiddin sebagai presiden. Keadaan politik begitu gawat ketika itu tiga parti Melayu iaitu Umno, PAS dan Bersatu berbincang bagi mengelakkan diadakan pilihan raya kerana kos dan bebanannya begitu besar.
Ia dianggap mendera rakyat dalam suasana negara tidak stabil. Yang di-Pertuan Agong kemudian memberi mandat kepada ahli-ahli parlimen yang mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli parlimen untuk mentadbir negara.
Peranan tiga parti menerbitkan satu persetujuan memberi kepercayaan kepada Muhyiddin sehingga akhirnya terbentuk kerajaan PN.
Jadi tidak betul istilah tebuk atap. Jadi istilah tebuk atap hanya istilah PH sendiri, itu dari segi fakta.
Daripada situlah mendorong PAS berada bersama dalam kerajaan PN di Putrajaya. Jadi Kelantan yang diterajui PAS diharap mendapat adventage mendapatkan limpahan pembangunan untuk rakyat.

Mungkin tuan haji melihat sepanjang 22 bulan di bawah kerajaan PH ada sesuatu yang boleh dibanggakan?

Dalam tempoh 22 bulan nilai kerajaan PH menerajui politik negara ia adalah gandingan daripada pelbagai pakatan politik. Dalam garis naluri politik di negara kita mempunyai teras Melayu, Islam, bumiputera, kebebasan antara kaum yang dilimitasi oleh perlembagaan negara dan kesultanan.
Jadi teras-teras tersebut diurus secara liberal di mana muncul perlanggaran kepada teras-teras tersebut.
Apabila penampilan menteri agama yang berasosiasasi dengan kumpulan-kumpulan yang liberal dan menjauhi agama, di mana ia mencabar teras Islam yang sekian lama dibawa kerajaan BN dan diperjuangkan oleh PAS untuk memastikan ketulenan Islam tidak bercamur gaul dengan gerakan liberal yang memusuhi agama. Mereka melayani golongan LGBT yang jelas mencabar hukum hakam Islam itu sendiri dalam konteks universal.
Jadi keadaan itu berlaku ketidakpuas hati golongan Islamis terhadap bawaan konsep Rahmatan lil alami. Konsep itu diterjemahkan secara liberal dan bukannya secara ilmu Islam itu sendiri.
Dalam menterjemah maqasid syariah bagaimana kita menjaga kemaslahatan umat. Maqasid syariah ada lima perkara yang paling penting ialah agama. Kalau kita raikan golongan LGBT, di mana soal akidah pun kita merasakan telah tercabar. Itu belum lagi kita bercakap aspek maruah.
Layanan istimewa kerajaan PH dianggap telah mencabar, sedangkan sebelum ini memperlihatkan nilai murni yang tidak ada campur gaul.
Begitu juga dalam pendekatan teras Melayu di mana ketika BN mentadbir tidak pernah memberi jawatan penting kepada menteri-menteri bukan Islam. Namun di bawah kerajaan PH mereka memberi jawatan menteri yang penting kepada menteri bukan Melayu sehingga mencabar hak kepentingan orang Melayu. Contohnya Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Menteri Kewangan dan Menteri Penerangan. Ini telah mencabar nilai yang sedia ada.
Misalnya dalam isu penerangan di mana kementerian itu diterajui oleh DAP. Bagaimana seorang menteri daripada DAP boleh membawa agenda ketuanan Melayu, tentunya jauh sekali.
Bagaimana hendak membawa teras Melayu sebagai teras utama dalam politik negara. Itu perkara yang mencabar sepanjang PH mentadbir.
Itu belum lagi ditengok kepada aset-aset milik orang Melayu dan Islam yang digadaikan. Ini satu perkara yang kita lihat dalam tempoh 22 bulan itu polemik yang semakin mencabar.

Adakah gugatan politik yang berlaku itu akhirnya membawa penyatuan ummah pada 14 September 2019?

Tanggal 14 September 2019 memberi makna yang begitu besar. Walaupun kita kalah kepada PH, tiba-tiba kita bangun atas konsep penyatuan ummah.
Ia merupakan satu anjakan dalam politik baharu negara kita atas sentimen Melayu Islam, maka agenda yang dibawa oleh PAS sebenarnya sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 lagi. Telah ada inisiatif ke arah itu.
Sebelum ini usaha penyatuan ummah bermula dengan misi bantuan kemanusiaan ke Mynmar. Penglibatan kombinasi antara NGO PAS dan Umno dan lain-lain dianggap bibit bermula penyatuan tersebut. Dan kemuncak daripada itu lahir satu deklarasi perhimpunan bersama yang melibatkan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri ketika itu Dato’ Seri Najib Razak di mana pada himpunan tersebut mereka mengenakan pakaian sedondon.
Isu baju sedondon itu sebagai satu titik bayangan permulaan. Penyatuan juga semakin erat pada bantahan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).
Ia dianggap sebagai bibit-bibit penyatuan ummah. Itu kita anggap salam daripada PAS untuk mengajak Umno yang dalam keadaan ketidakstabilan diserang dengan isu 1MDB dan sebagainya.
Jadi Umno semacam tiada kekuatan ketika itu. Jadi PAS cuba menstabilkan sedikit sentimen Umno untuk menghadapi PRU supaya kita tidak bertembung seperti biasa. Kejatuhan kerajaan BN pada PRU14 menyebabkan Umno terkapai-kapai maka PAS muncul dengan mengambil jalan seruan penyatuan. Seruan penyatuan juga PAS gerak bersama NGO sehingga lahir konfederasi NGO Ummah.
Jadi suara Ummah itu diganding pula sebagai agenda politik, maka lahir satu deklarasi yang disebut sebagai Piagam Muafakat Nasional. Di sebalik piagam itu sebenarnya persetujuan bersama antara PAS dan Umno dalam isu-isu teras dalam menyedari Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dengan tidak mengabaikan untuk mengukuhkan lagi perpaduan ummah. Jadi seruan itu tidak dianggap nokhtah dalam sifir politik negara.

Muafakat Nasional sehingga sekarang hanya dianggap sekadar piagam dan tidak diterjemahkan lebih jauh. Bagaimana tuan haji melihatnya?

Ia perkara yang bersifat progresif walaupun sudah ada piagam tetapi piagam itu sebagai suatu persefahaman antara dua parti dengan tidak menghadkan muafakat tersebut boleh dibuat kepada sesiapa sahaja.
Sebab itulah ada tawaran kepada kawan-kawan yang lain atas dasar parti Melayu termasuk Bersatu.
Jadi hasil daripada itulah berlaku pula perhimpunan Melayu yang turut dihadiri perdana menteri ketika itu Dr Mahathir yang dianggap sebagai agenda untuk mempekukuhkan muafakat penyatuan ummah.
PAS dan Umno juga pernah menawarkan kepada Bersatu untuk sertai MN, namun ia terhenti begitu sahaja.

Bagaimana bermula pula detik kemunculan Perikatan Nasional (PN) pada Februari 2020?

Ketika itu Umno masih dalam keadaan dilema. Namun tiba-tiba Dr Mahathir meletak jawatan bagi menyelesaikan kemelut tersebut.
Ketika itu pembangkang yang terdiri daripada PAS dan Umno perlu mencari seorang tokoh yang boleh menyelamatkan keadaan.
Hendak cari ganti dengan kepimpinan utama Umno ketika itu tidak boleh kerana ada yang terikat dengan isu 1MBD, ada kes di mahkamah. Jadi pilihan terbaik Muhyidin. Akhirnya ia disepakati antara PAS, Umno dan Bersatu untuk bersama bagi membentuk PN. Dan ada tandatangan tiga pihak berkenaan untuk membentuk kerajaan PN.
Berpangkal dari situlah PAS mencadangkan supaya PN dijadikan muafakat politik dan tidak sekadar kerajaan sahaja. Muafakat politik itu melibatkan juga Umno dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.
Jadi apabila Umno berada dalam kabinet maka ada orang melihat Umno pulih semula dan ada kekuatan baharu. Itu persepsi orang yang melihat daripada luar.
Persepsi itu dilihat dalam pelbagai sumber antaranya media baru dan kenyataan rasmi pemimpin. Kita angkat perdana menteri daripada Bersatu dengan tidak melihat jumlah ahli parlimen dimiliki mana-mana parti ketika itu. Kita lihat persetujuan untuk berada dalam satu level. Kita setuju terima hakikat Bersatu jumlah ahli parlimen mereka kecil berbanding dengan Umno. Namun kena tengok juga isu karakter dan figura dalam politik mencari yang terbaik.
Tidak fikir masalah mewakili majoriti atau tidak dalam permuafakatan PN. Ini juga membolehkan kita naturalise keadaan keegoan parti masing-masing.

Hambatan bagi menghadapi PRU15 ialah isu pengagihan kerusi. Sejauh mana tuan haji melihat?

Apa yang berlaku dalam kepimpinan Umno, hatta dalaman kita pun dalam perbincangan pembahagian kerusi PRU akan datang, Umno dilihat cuba mencatur formula dia sendiri yang menganggap mereka dominan.
Contohnya Umno mahu 70 kerusi parlimen, PAS diletak 30 kerusi dan bakinya Bersatu. Jadi berlaku jurang yang agak besar, sedangkan kita rasa rekod PRU lepas kurang sesuai dipakai dengan suasana sekarang. Pemikiran rakyat sudah berubah. Jadi kestabilan Umno sendiri pun sudah berubah contoh paling besar ialah beberapa ahli parlimen mereka yang menang sudah tinggalkan Umno. Apabila tinggalkan Umno ia turut memberi perubahan kepada minda rakyat. Sebab rakyat juga dilihat seperti boleh terima ada wakil rakyat yang melompat parti. Biarpun mereka melompat parti pengaruh dia di bawah masih ada.

Adalah tuan haji nampak kerajaan PN boleh kekal PRU15?

Kita yakin boleh kekal dengan syaratnya seperti yang kita sebut tadi. Proses untuk menyelesaikan beberapa ketidakselarian dengan hasrat rakyat perlu ada peringkat parti mahupun peringkat kerajaan, dan dilihat satu komitmen baharu ialah pengharapan kepada
rakyat untuk selesaikan segera isu mahkamah sebelum berlangsung PRU15. Ia boleh memberi satu lonjokan dan kredit besar kepada perdana menteri sekarang. Jadi tidak tunggu selepas PRU. PAS pula perlu pastikan ada road map yang jelas usaha memartabatkan syariat peringkat nasional.
Kena serius move tarik sokongan rakyat terutamanya berkaitan RUU 355 yang tidak sempat dibahas di parlimen sebelum ini. Perlu ada titik pergerakan kemajuan untuk diketengahkan kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 7/5/2021

- Advertisement -