Kejohanan Piala Remaja Lelaki Asia ditangguh lagi

KUALA LUMPUR: Kejohanan Piala Remaja Lelaki Asia yang dijadual diadakan di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhashani di Dhaka, Bangladesh dari 1 hingga 10 Julai, ditangguhkan buat kali ketiga berikutan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Hoki Asia (AHF) Datuk Tayyab Ikram berkata pasukan itu telah dimaklumkan mengenai keputusan untuk menangguhkan kejohanan itu ke hari lain setelah berunding dengan Persekutuan Hoki Bangladesh (BHF) dan kerajaan Bangladesh.

Advertisement

Ia juga disebabkan Bangladesh baru-baru ini melaksanakan sekatan penerbangan dan perjalanan bagi mereka yang memasuki negara itu berikutan lonjakan terbaru kes Covid-19 serta sekatan pergerakan dan perjalanan yang diperbaharui di beberapa negara yang mengambil bahagian.

“Keputusan kami juga didorong oleh keprihatinan AHF mengenai kesihatan dan kebajikan atlet dan keadilan pertandingan penting ini,” katanya dalam surat yang dikirimkan kepada negara-negara peserta termasuk Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Tayyab berkata AHF dan BHF akan bermesyuarat tidak lama lagi bagi membincangkan langkah seterusnya dan memberikan maklumat lanjut secepat mungkin.

Kejohanan Bawah 21 tahun, Kelayakan ke Piala Dunia Remaja 2021, pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 12 Jun 2020 tetapi ia ditangguhkan ke 21 hingga 30 Jan tahun ini sebelum dianjak ke 1 hingga 10 Julai.

Sementara itu, pengurus pasukan Malaysia I. Vikneswaran berkata walaupun penangguhan itu, pasukan tersebut tetap memberikan tumpuan dan bertekad untuk layak ke Piala Dunia.

“Kami kena hadapi keadaan ini kerana pandemik semakin buruk, jadi sebaiknya menangguhkan acara ini. Buat masa ini, kami perlu merangka semula rancangan kami.

“Tetapi mentaliti pemain sentiasa positif kerana mereka tahu keadaan ini berlaku akibat pandemik,” katanya kepada Bernama.

Selain tuan rumah Bangladesh, negara lain yang bertanding dalam kejohanan itu ialah China, Taiwan, India, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Oman, Uzbekistan dan Pakistan. – BERNAMA