Junjung kasih titah solat hajat, qunut nazilah

Sultan Perak titah diadakan pada solat Jumaat hari ini agar dijauhi wabak

PAS Perak merakamkan setinggi-tinggi junjungan kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM), Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah di atas hikmah kebijaksanaan Baginda menitahkan agar semua masjid dan surau di Perak mengadakan solat hajat yang disertai bacaan doa Qunut Nazilah selepas mendirikan Solat Jumaat pada minggu ini bagi memohon diberikan perlindungan dan keselamatan oleh Allah S.W.T daripada ancaman wabak COVID-19.

Titah Baginda ini hakikatnya menzahirkan kebimbangan Baginda berikutan bilangan kes pesakit COVID-19 yang semakin meningkat dengan angka yang besar di seluruh pelosok negara sejak kebelakangan ini yang menunjukkan tanda-tanda tidak akan berkurang walaupun kehidupan secara norma baharu telah diamalkan hampir dua tahun sejak COVID-19 melanda negara pada tahun 2020.

Advertisement

PAS Perak menegaskan bahawa Institusi Raja adalah sebuah institusi yang perlu sentiasa didukung dan diberikan ketaatan atas segala titah dan perkenan Sultan dan menjadi tanggungjawab besar bagi seluruh rakyat jelata dalam memastikan setiap titah yang diperkenan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Tuntasnya, seluruh kepimpinan PAS Perak berasa amat berbesar hati dengan keprihatinan dan perhatian yang dizahirkan oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah terhadap cabaran wabak COVID-19 yang dihadapi oleh semua pihak tidak kira para petugas barisan hadapan mahupun rakyat jelata dalam menjaga kemaslahatan negara.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 7/5/2021