JAS serbu kilang peleburan logam haram

BATU GAJAH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak menyerbu sebuah kilang peleburan logam haram selepas menerima aduan orang ramai berkenaan operasi itu sejak pertengahan April.

Advertisement

Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata, terdapat dua ruang pembakaran untuk peleburan logam, namun hanya sisa-sisa yang boleh didapati di premis itu di Tanjung Tualang, di sini semalam.

“Kita dapati premis telah ditinggalkan kosong oleh pekerja-pekerja dan pemiliknya berdasarkan pemeriksaan, kita dapati ada dua ruang pembakaran untuk proses peleburan logam.

“Kedua-duanya kosong dan terdapat pondok atau rumah kongsi untuk pekerja tinggal dan masih banyak peralatan yang kita dapati,” jelasnya selepas operasi semalam.

Operasi bersepadu tersebut turut disertai Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri, Balai Polis Tanjung Tualang serta Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Batu Gajah.

Juga anggota-anggota pengut kuasa daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Perak dan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak.

Jelas Rosli, maklumat awal dari Pejabat Tanah dan Daerah telah mengenal pasti pemilik tanah, namun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti pula pemilik fasiliti untuk diambil tindakan.

“Berdasarkan operasi dijalankan, kemudahan-kemudahan yang ditinggalkan menunjukkan kilang beroperasi menjalankan proses-proses peleburan tetapi bahan mentah telah dikosongkan.

“Kita dapati tiada alat kawalan pencemaran dibangunkan dan teknologi pembangunan pemprosesan yang dijalankan bukan teknologi terkini dan merupakan teknologi konvensional dan tidak sesuai digunakan pada hari ini,” ujarnya.

JAS Perak telah mengambil sampel sisa bahan yang telah diproses untuk dihantar ke jabatan kimia bagi mengenalpasti sama ada bahan tersebut dalam kategori barang buangan berjadual.

“Sekiranya buangan dihasilkan dikategorikan sebagai buangan berjadual, maka kita akan arahkan pemilik tanah untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan tinggalan berdasarkan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS),” tegasnya.

Kedudukan kilang tersebut di dalam ladang kelapa sawit sejauh 4 kilometer dari jalan utama dan kawasan perumahan menyukarkan operasinya dihidu oleh pihak berkuasa.

Orang awam diseru untuk melaporkan sebarang aktiviti-aktiviti mencurigakan yang boleh merosakkan alam sekitar kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau adu ke e-Aduan JAS. – HARAKAHDAILY 7/5/2021