Janggut suami ada hormon testosteron?

- Advertisement -

TERSEBAR semula video ustaz yang menyatakan keajaiban janggut kerana kononnya mempunyai hormon testosteron. Hormon testosteron itu adalah hormon kekuatan tenaga lelaki. Hormon itu tidak terletak di janggut tetapi terletak di alat kelamin. 

Walaupun betul janggut itu sunnah, tetapi janganlah menyandarkan sunnah itu dengan perkara yang menyalahi sunnatullah. Katanya terdapat artikel yang menyokong ceramah ustaz tersebut. Saya mencari-cari artikel ‘The Amazing Fact of Human Body’; menyentuh mengenai janggut lelaki yang mengandungi testosteron dan boleh menyuburkan wanita. Artikel ini telah pun dikongsi oleh seorang penceramah bebas yang juga seorang doktor perubatan Utara tanah air.

- Advertisement -

Menurutnya, kajian oleh saintis dari Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat yang berjudul The Amazing Fact of Human Body mendapati janggut lelaki mengandungi hormon testosteron yang amat diperlukan bagi kesuburan wanita. Ia mampu menstabilkan kitaran haid selain menggalakkan pertumbuhan telur wanita. Justeru beliau memberi nasihat agar isteri senantiasa membelai janggut suami terutama kepada pasangan yang tidak mempunyai anak atau jarang.

Carian dalam Cochrane dan Google Scholar tidak ditemui fakta tersebut. Laman Cochrane dan Google Scholaradalah antara laman web hierarki teratas yang memuatkan rujukan perubatan. Saya temui satu artikel kajian yang telah dijalankan oleh sebuah Universiti terkemuka. Mereka menggunakan hormon testosteron untuk merangsang kesuburan telur wanita semasa proses persenyawaan berhadas (Intra Uterine Insemination).[1] 

Namun kajian tersebut dilakukan ke atas haiwan dan masih belum dibuktikan atas manusia. Lagipun kitaran haid wanita bukan dipengaruhi oleh hormon testosteron, tetapi hormon estrogen dan progesteron. Tiada kaitan pun hormon kejantanan lelaki dengan kitaran haid wanita.

Justeru, menggosok dan membelai janggut suami tiada kaitan langsung bagi mendatangkan kesuburan seseorang wanita. Hatta, jika janggut suami direndam rebus dan diminum airnya pun masih tidak boleh mengalir hormon testosteron ke badan wanita. Apatah lagi membelai mesra dengannya.

Tidak dinafikan janggut mempunyai kelebihan sepertimana yang dinukilkan oleh Hadis Nabi S.A.W. Tetapi ia bukan menjadi satu prinsip asas kehidupan manusia. Jika tidak mempunyai janggut pun tidak menjadi sesuatu yang aib bagi seseorang. Khasiat perubatan mengenai janggut mungkin wujud, namun sains masih belum menemuinya secara sahih. Bukan bermakna sabdaan Rasulullah itu silap. 

Sains mungkin akan membuktikannya kelak. Itu pun tidak menjadikan iman kita lemah jika masih belum ada bukti sains. Wujudnya Quran dan Hadis sudah cukup bagi membuktikan keimanan kita tanpa hadirnya hukum sains.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 7/5/2021

Rujukan:
[1] Kajian menggunakan hormon testesterone atas haiwan. https://www.urmc.rochester.edu/news/story/4022/female-fertility-whats-testosterone-got-to-do-with-it.aspx 
[2] Komen Dr Kamilin Jamilin. https://www.facebook.com/1743258955902336/posts/2568730283355195?sfns=mo

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -