Engkar SOP dibimbang Covid masih menular tahun depan

- Advertisement -

TUMPAT: Sekiranya setiap anggota masyarakat tidak ambil peduli menjaga prosedur operasi standard (SOP) kemungkinan tahun hadapan suasana Aidilfitri masih seperti sekarang.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, anak-anak Kelantan yang berada di perantauan diharap bersabar kerana tidak dapat bersama keluarga menyambut Aidilfitri kali ini.

Bagaimanapun katanya mereka boleh menggunakan pelbagai kaedah untuk berhubung dengan ibu bapa dan keluarga sama ada menerusi video call, Google meet, Zoom dan sebagainya.

- Advertisement -

“Zaman sekarang banyak teknologi moden yang boleh dimanfaatkan untuk berinteraksi bersama keluarga,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Dun Pasir Pekan.

Sebanyak 300 pek makanan diagihkan kepada petugas terbabit secara pandu lalu diadakan di pekarangan Wisma Ibadurrahman hari ini.

Turut diraikan antaranya penghulu dan Ameerah. Turut hadir isteri Menteri Besar, Datin Siti Zabedah Abdul Hamid.

Menteri Besar juga berkata, apa yang kerajaan laksanakan itu untuk memutuskan rantaian Covid-19 supaya berlalu pergi dengan lebih cepat.

Beliau juga berharap sempena 10 terakhir Ramadan sekarang rakyat Kelantan digalak bermunajat dengan memperbanyakkan doa supaya Covid-19 diangkat pergi.

“Kita amat rindu kepada masjid, kita rindu pada hubungan silaturrahim, tetapi kerana kekangan Covid-19 ia memisahkan kita.

“Jadi kita mesti sama-sama berusaha menjaga garis panduan SOP yang ditetapkan termasuk kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka dan kurangkan keluar dari rumah sekiranya tiada keperluan,” ujarnya.

Langkah itu kata beliau antara usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 selain suntikan vaksin. – HARAKAHDAILY 7/5/2021

- Advertisement -