Bukan pelik DAP langgar prinsip parti

Dr. Mohd Syakir Mohd Rosdi, Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (USM), Universiti Sains Malaysia.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bukan sesuatu yang pelik jika DAP disifatkan sebagai sebuah parti yang tidak memegang kepada prinsip asas perjuangan parti mereka sendiri.

Penganalisis Politik, Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke baru-baru ini menggambarkan partinya jelas terdesak bagi meraih sokongan orang Melayu di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, parti yang didominasi kaum Cina itu akan melakukan apa sahaja demi untuk mentadbir kembali Putrajaya termasuk mengorbankan prinsip dasar parti mereka.

- Advertisement -

“Saya melihat isu ini berasaskan kepada parti yang melihat kepada kepentingan-kepentingan tertentu. Kalau parti yang tidak melihat kepada kepentingan tertentu ini dia pasti memegang kepada prinsip asas kepada sebuah perjuangan parti DAP ini.

“Kalau kita lihat DAP ini memang daripada awal perjuangan mereka, mereka menentang Umno sehinggalah pada PRU14 pun dia masih menentang Umno.

“Kalaulah sebuah parti itu ikhlas dalam perjuangan, maka dia takkan sewenangnya menyatakan bahawa dia boleh bekerjasama dengan musuh dia. Sebab dia bukan sebuah parti yang memiliki prinsip yang terbuka dengan parti Melayu sebelum ini kecuali parti-parti yang berada dalam pakatan mereka,” ujarnya.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) tidak menafikan parti terbesar yang didominasi kaum Cina itu adalah parti yang penuh dengan kepentingan parti mereka semata-mata.

“Kita lihat DAP telah mula memancing Umno untuk bersama-sama mereka dalam perjuangan menentang kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Mereka nak jadi Perdana Menteri, menguasai kerajaan dan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan.

“Jadi untuk memberi keyakinan kepada orang-orang Melayu, tidak dapat tidak, mereka perlu untuk mengorbankan prinsip mereka yang dulunya mereka berkata tidak boleh bersama dengan Umno dan Umno sendiri mengatakan bahawa mereka tidak boleh bersama dengan DAP.

“Sebelum ini mereka pernah berada di kerusi kerajaan dalam tempoh 22 bulan dan merasakan selesa di kedudukan tersebut, maka mereka mesti bertindak sesuatu untuk mendapatkan kembali kerajaan yang sebelum ini telah mereka kuasai,” ujarnya.

Katanya, peluang ini akan direbut DAP termasuklah sebarang kepentingan yang mendatangkan keuntungan signifikan kepada parti mereka.

“Bagi saya tidak pelik kalau DAP menyatakan hal yang sedemikian kerana perjuangan mereka bukan atas dasar prinsip Islam dan bukan atas dasar prinsip yang fokus kepada sesuatu yang penting untuk mengikhlaskan diri dalam perjuangan kerana mereka sebuah parti yang kalau ada satu kebaikan untuk parti mereka yang mereka boleh dapat, mereka sanggup untuk korbankan prinsip mereka,” tambahnya.

Beliau berkata demikian kepada HarakahDaily berhubung kesediaan DAP bagi menjalin hubungan politik dengan parti terbesar Melayu itu.

Mohd Syakir turut menyifatkan hasrat DAP untuk menjalin kerjasama politik bersama Umno di dalam PRU14 hanya sekadar angan-angan yang tidak akan kesampaian.

“Saya dengar statement hanya daripada DAP bukan daripada Umno, Umno tidak menjelaskan sebarang persetujuan atau keterbukaan kepada DAP.

“Tapi daripada apa yang kita lihat adalah bibit-bibit kemesraan itu tapi taklah menggambarkan bahawa mereka bersetuju untuk bersama dengan DAP.

“Sebab Umno ini sebuah parti yang ada prinsip Melayu dan telah lama mereka berjuang untuk melawan DAP dan prinsip itu mereka pertahankan sehingga sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2021

- Advertisement -