BENTONG: PAS Kawasan Bentong telah mengadakan edaran sebanyak 600 pek bubur lambuk yang menjadi rutin aktiviti tahunannya kepada kakitangan dan petugas jabatan kerajaan sekitar bandar ini, di sini kelmarin dahulu.
Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah mengetui usaha mengeratkan silaturahim dan memasyarakatkan PAS ini bersama Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Roslan Mad Esa dan Pengerusi Lajnah Kebajikan, Muhammadin Mustaffa.
“Syukur alhamdulillah program dirancang berjalan lancar. Penghargaan kepada PAS Cawangan Pelangai khususnya Jawatankuasa Muslimat Cawangan (JMC) diketuai Liza Yusof yang mengurus penyediaan, memasak dan membungkus bubur lambuk.
“PAS Bentong komited meneruskan aktiviti sumbangan dan bantuan kepada masyarakat sebagai satu sinergi dan usaha mempromosikan PAS dan Kerajaan Perikatan Nasional sebagai sebuah kerajaan prihatin rakyat,” ulas Khairuddin.
Penghantaran dimulai dengan pemberian kepada kakitangan Pusat Hemodialisis Suria Bentong, diikuti para petugas Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO) Cawangan Bentong, Pos Laju Bentong dan Balai Bomba Bentong.
Hujan renyai-renyai tidak membatasi pergerakan konvoi penghantaran menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong kemudian ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bentong, disambut sendiri oleh Pegawai PPD Bentong, Shahrum Md Daud.
Misi sumbangan diteruskan ke Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Bentong, Hospital Daerah Bentong, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berakhir dengan penyerahan kepada kakitangan Pejabat Agama Daerah Bentong (PAID). – HARAKAHDAILY 7/5/2021