Tidak boleh makan di restoran di lokasi PKP

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah tidak membenarkan dine-in (makan dalam restoran) di daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebaliknya premis berkenaan boleh melakukan penjualan secara bungkus atau pandu lalu (take away).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara tersebut diumumkan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Kedah selepas mesyuarat petang semalam.

“Kita menghadapi masalah merebak Covid-19 dan antara langkah-langkah pengawalan penularan kita tidak membenarkan dine-in tetapi boleh bungkus.

- Advertisement -

“Pakar kesihatan juga telah mengambil maklum hal ini, dine-in boleh menyebabkan risiko. Sabarlah 14 hari sahaja,” katanya pada sidang media semalam.

Beliau menjelaskan perkara itu berikutan terdapat rungutan apabila dine-in tidak dibenarkan selama tempoh PKP dilaksana di daerah terbabit.

Manakala menurut MKN Kedah operasi perniagaan iaitu kedai runcit dan serbaneka dibenarkan bermula dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Selain itu Bazar Ramadan dibenarkan menjalankan aktitivinya dari jam 3 petang hingga 8 malam. Bazar Aidilfitri pula boleh menjalankan perniagaan dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Walau bagaimana pun operasi Bazar Ramadan dan Aidilfitri perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan syarat yang dikenakan sebelum ini dengan pengawasan dilakukan anggota keselamatan, RELA dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” kata MKN Kedah.

Baru-baru ini Menteri Kanan (Pertahanan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu lima daripada 12 daerah di seluruh Kedah dikenakan PKP selama tempoh dua minggu.

Daerah terbabit iaitu Kota Setar selain Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim.

Menurut Ismail dalam tempoh 14 hari sebanyak 709 kes aktif direkodkan di lima daerah ini melibatkan beberapa kluster. – HARAKAHDAILY 6/5/2021

- Advertisement -