Surat terbuka buat kekanda Yusuf Azmi

- Advertisement -

KE HADAPAN kekanda Yusuf Azmi,

Saya teringat semasa berada di universiti saya ke pondok Baitul Qurra’ di Melaka untuk menadah sedikit ilmu bersama Tuan Guru Zulkifli Ismail. Tuan Guru Zulkifli (TG) kalau yang pernah berguru dengannya akan tahu bahawa beliau sangat berlemah-lembut tetapi bila naik marah, boleh kecut perut dibuatnya.

Satu malam, kami balik dari kuliah di sebuah surau dan beliau memandu kereta. Tiba-tiba sebuah kereta lain memotong kereta TG dengan tergesa-gesa dan laju sehingga menyebabkan kereta TG hampir hilang kawalan. Muka TG merah menyala dan beliau memecut keretanya dengan laju, cuba untuk mengejar kenderaan pemandu biadab tadi.

- Advertisement -

Sampai di sebuah persimpangan, kenderaan tadi hilang daripada pandangan dan TG terpaksa mematahkan niatnya mengejar pemandu tersebut. Beliau memandang ke arah saya yang nampak kaget dengan perubahan mengejut pada perwatakan beliau, lalu beliau menyebutkan:

“Dalam perwatakan kita sebagai Muslim kita tak boleh hanya ada watak Abu Bakar yang lemah-lembut dan cepat menangis. Kita kena ada juga perwatakan Umar yang garang sampaikan musuh takut untuk memijak kita.”

Saya mengangguk faham. 

Saya mengikuti perjuangan tuan sejak awal, bagaimana tuan bersuara terhadap penipuan syarikat pinjaman Along, menentang penghinaan ke atas agama dan Rasul sehingga ke isu mutakhir berdepan scam baju Semboyan.

Jujurnya saya berbangga kerana akhirnya umat punya suara yang mempertahankan hak mereka yang dizalimi dan mendukung perjuangan pihak yang cuba bermain api. Kalau saya berada di Malaysia barangkali saya akan berada bersama tuan berdepan musuh-musuh agama dan mereka yang cuba menjolok sarang tebuan ini.

Tetapi insiden mutakhir yang berlaku melibatkan pemuda berbangsa asing dalam scam baju palsu Semboyan agak mengejutkan. Video yang tular menunjukkan bagaimana pemuda tersebut ditampar dan ditumbuk kerana cuba berdalih dan menipu, amat tidak menyenangkan untuk ditonton. Negara kita masih punya undang-undang dan penyelesaian dengan mengakibatkan kesakitan fizikal adalah tidak wajar, lebih-lebih lagi ke atas saudara se-Islam dengan apa sebab sekali pun.

Tuan ternyata adalah teladan kepada golongan muda Islam yang sedang mencari contoh dan pedoman, justeru setiap tindakan perlu diukur dan dinilai dengan teliti sebelum diambil. Mudah-mudahan apabila pulang ke Malaysia kelak akan ada peluang untuk kita duduk semeja membincangkan agenda ummah bersama-sama.

Yang ikhlas menegur,

NADIR AL-NURI,
Saudaramu di Gaza yang setiap hari berdepan kezaliman tentera Zionis.

p/s: Kalau Abang Ali lapang nak jemput ke Gaza, rasanya terkencing dalam seluar juga puak Zionis ini kalau tengok Abang Ali mendengus. – HARAKAHDAILY 6/5/2021

- Advertisement -