Sultan bimbang rakyat ambil ringan pematuhan SOP

Sultan Muhammad V
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menzahirkan sangat dukacita melihat rakyat negeri itu masih mengambil ringan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

- Advertisement -

Oleh itu baginda menitahkan semua pihak terutama rakyat Kelantan di perantau, golongan kenamaan mahu pun selebriti supaya tidak merentas negeri sekiranya tiada kecemasan.

Baginda bimbang berikutan merebak varian Afrika Selatan B.1.351 di Kelantan yang dikesan berpunca daripada aktiviti terbabit.

Setiausaha Sulit Kanan baginda Dato’ Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, pada masa yang sama baginda turut menzahirkan kebimbangan susulan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 sehingga mencecah lebih 400 kes sehari di Kelantan sejak pertengahan bulan lalu.

Justeru beliau berkata, baginda menyeru rakyat agar mengambil serius perkara berkenaan.

“Unit Rawatan Rapi (ICU) hampir penuh kapasiti dan ia turut menjejaskan pesakit ICU sedia ada sehingga terpaksa ditempatkan di wad biasa.

“Jumlah pesakit meningkat sehingga memaksa kerajaan negeri membuka hospital lapangan di Padang Perdana dan ini menunjukkan situasi kritikal di Kelantan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, baginda menyarankan semua peniaga supaya mengutamakan pengurusan perniagaan secara dalam talian.

Baginda turut berharap seluruh rakyat bekerjasama melindungi ahli keluarga dan orang di sekeliling.

“Baginda memahami tugas kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berkorban sejak awal pandemik hingga sekarang demi mengekang penularan Covid-19, terutama menjelang Aidilfitri minggu depan.

“Baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kakitangan KKM yang tidak mengenal penat lelah berkhidmat untuk segenap lapisan masyarakat.

“Sempena minggu terakhir Ramadan, baginda mengajak semua rakyat sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT supaya penularan Covid-19 dapat dibendung dan tindakan kolektif yang diambil rakyat dapat melandaikan lengkuk jangkitan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2021

- Advertisement -