Ramadan membentuk pimpinan yang berintegriti

- Advertisement -

SEDAR tak sedar Ramadan sudah sampai ke penghujungnya. Bulan mulia ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang beriman bagi mengejar keampunan dan rahmat dari Allah S.W.T. Walaupun dalam keadaan berhadapan pandemik COVID-19 namun umat Islam dalam mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa terus mengambil kesempatan mengejar peluang dan janji-janji yang diberikan oleh Allah S.W.T yang eksklusif dalam bulan ini.

Para pemimpin politik juga sewajarnya mengambil kesempatan yang diberikan Allah S.W.T pada bulan yang penuh barakah ini. Inilah masanya untuk bermuhasabah diri dan menyemak kembali rekod dan keutamaan masing-masing. Kita memimpin rakyat tetapi adakah kepimpinan kita itu menepati kehendak yang dituntut oleh agama?

Rakyat mengharapkan nasib dan masa depan mereka terbela di tangan kita. Rakyat mengharapkan melalui kepimpinan kita negara akan aman dan sejahtera dengan kemajuan dan kemakmuran dikecapi oleh semua. Segala amalan rakus dan salah sehingga mengakibatkan negara rugi dan rakyat dizalimi wajib dijauhkan.

- Advertisement -

Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam tulisannya menyeru agar kepimpinan yang berintegriti dijelmakan bermula dari pengalaman melalui ibadah bulan Ramadan. Integriti pada umumnya bermaksud bersikap jujur dan menunjukkan kepatuhan yang tanpa kompromi terhadap prinsip dan nilai moral serta etika yang kuat.

Menurut Tuan Guru integriti itu lahir daripada hati sanubari yang mengarahkan akal membuat pilihan dibantu oleh hidayah Allah S.W.T kepada anggota dan jasadnya bagi mengerjakan amal soleh dalam segala aspek hubungan manusia dengan Allah S.W.T, dirinya, keluarga dan masyarakat serta peranannya dalam menguruskan makhluk yang lain.

Pemimpin yang berintegriti adalah pemimpin yang bertakwa. Yang gerun dan sentiasa merasai kehadiran Allah S.W.T walaupun ia sendiri tidak dapat melihat Nya. Allah S.W.T berfirman Surah Al-Mulk ayat 12, maksudnya:

”Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhan walaupun mereka tidak melihatnya, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.”

Pemimpin berintegriti sentiasa sedar akan balasan syurga dan neraka yang menantinya. Dalam kegerunan itulah ia menjunjung dan mengamalkan segala titah perintah Allah S.W.T, al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W menjadi panduan dan rujukannya dan dengan itu ia sekali-kali tidak akan tergelincir dari memberikan kepimpinan yang terbaik buat rakyat dan negara.

Betapa untungnya rakyat dan negara kiranya dipimpin oleh ketua yang berintegriti sebagaimana yang dimaksudkan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan, rakyat diberikan hak memilih pemimpinnya. Pemimpin dalam sejarah di Malaysia datang dan pergi, ada yang berkualiti dan disenangi rakyat manakala tidak kurang juga yang tempang dan pincang kepimpinannya sehingga mengakibatkan rakyat merana dan negara terjejas.

Jika Ramadan ini adalah kilangnya untuk menghasilkan kepimpinan yang berintegriti itu maka sewajarnyalah ia dilalui dengan penuh tekun dan cermat. Kerana pengharapan rakyat dewasa ini cukup besar setelah lebih enam dekad negara Merdeka, Malaysia selayaknya dibarisi pemimpin yang berintegriti yang mampu menyatupadukan umat, mengelakkan pecah-belah serta menyelamatkan ekonomi negara dengan memacu negara ke arah kesejahteraan yang dinanti-nantikan.

Segala jenis amalan yang bertentangan dengan nilai dan sikap ini perlulah diperangi dan ditolak rakyat. Pemimpin yang rasuah dan cenderung menyalahgunakan kuasa dan kedudukan perlulah diambil tindakan dan dipastikan tidak lagi naik memimpin kita. Kepimpinan bukannya lesen untuk mengkayakan diri dan keluarga tetapi sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dengan keinsafan dan kesedaran bahawa pertanggungjawaban besar menanti di akhirat nanti.

Dalam kontek ini juga pemimpin yang terpesona dan tewas dengan maksiat, seks luar nikah, seks songsang, judi, arak dan dadah juga tidak terkecuali. Bagaimana rakyat mahu bergantung harap pada mereka jika negara melahirkan kepimpinan seumpama ini yang akan mengundang murka Allah S.W.T dan bala buat negara. Sebagaimana rasuah dan salah guna kuasa yang mungkar, pemimpin yang bertabiat jijik sebegini juga perlu ditolak tanpa kompromi.

Apa makna rakyat diarah dan dididik menjadi insan yang berintegriti dengan meninggalkan amalan rasuah dan segala bentuk maksiat. Menjadi insan yang bermoral dan mematuhi undang-undang tetapi pemimpin sendiri kotor dan jalang dan lebih malang amalan dan kerja jahat mereka itu dipertontonkan pula pada rakyat.

PAS pernah memecat wakil rakyatnya yang mungkar walaupun dari segi politik tindakan pemecatan wakil rakyat sebegitu dilihat tidak bijak tetapi namun PAS dihormati kerana mempertahankan integriti. Dalam kita membicarakan integriti juga sudah sampai masanya negara memandang serius kepada tindakan wakil-wakil rakyat yang melompat parti. Tindakan ini suka tidak suka adalah tidak berintegriti kerana ianya mengkhianati mandat yang diberi oleh rakyat.

Sudah sampai masanya peraturan dan undang-undang digubal bagi mengharamkan amalan ini kerana nama baik negara terjejas apabila mengizinkan amalan pencabulan ini. Semua pihak perlu bersatu menyokong tindakan menamatkan amalan wakil rakyat melompat parti ini kerana kita tidak perlukan lagi pemimpin yang tidak jujur apatah lagi senang-senang menggadai prinsipnya dan kepercayaan yang diberi rakyat kerana mengejar kuasa dan pangkat.

Jika Ramadan ini dipelihara sebaik mungkin sehingga menjadi pusat tarbiyah membentuk pimpinan yang berintegriti dan bermaruah, maka berjayalah rakyat dan negara. Kita berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran yang memerlukan kepimpinan yang dinamik dan berintegriti untuk membawa rakyat dan negara keluar darinya. Kita boleh berjaya dengan izin Allah S.W.T tetapi syaratnya kita perlu bersungguh mendukung dan menyokong saf kepimpinan yang menepati ciri-ciri ini dan tidak lagi pada mereka yang merugikan. Semoga Ramadan kali ini melahirkan sesuatu yang terbaik buat rakyat dan negara.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 6/5/2021

- Advertisement -