Puasa yang tiada makna

- Advertisement -

MANUSIA tidak dapat lari daripada akhlak yang sebati dalam diri. Walaupun akhlak yang buruk itu tidak membatalkan puasa, namun risiko pahala puasa berkurangan perlu diambil kira.

Ini kerana puasa ialah medan melatih pelakunya supaya memperbaik kualiti diri dan berakhlak dengan akhlak terpuji.

Nabi SAW bersabda:

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ.

“Berapa ramai orang yang berpuasa yang tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan berapa ramai orang yang melakukan qiamullail (beribadat pada sepertiga malam) tidak mendapat apa-apa kelebihan melainkan penat berjaga sahaja.” [Riwayat Ibn Majah 1690, al-Nasa’i 3236 dan Ahmad 9685]

- Advertisement -

Puasa itu tidak bermakna jika sekadar melatih fizikal meninggalkan makan dan minum. Akan tetapi, puasa turut melatih spiritual dalam membentuk akhlak yang mulia.

Selain itu, puasa bertujuan melahirkan sifat takut kepada Allah Pencipta alam termasuk diri manusia dan rezekinya dengan mentaati perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

Nabi SAW menerangkan puasa yang berkesan iaitu:

لَيسَ الصّيَامُ مِنَ الأَكلِ وَالشّربِ إِنّمَا الصّيَامُ مِنَ اللّغوِ وَالرّفَثِ فَإِن سَابّكَ أَحَدٌ أَو جَهِلَ عَلَيكَ فَقُل إِنّي صَائِمٌ إِنّي صَائِمٌ.

“Bukanlah puasa itu dengan meninggalkan makan dan minum sahaja. Sesungguhnya puasa itu juga meninggalkan perkara tidak berfaedah dan bercakap buruk. Apabila seseorang memaki kamu atau bertindak bodoh, katakan kepadanya, ‘Saya berpuasa (jangan melayaninya).” [Riwayat al-Hakim 1570 dan al-Baihaqi 8312]

Demikian itu ialah contoh daripada akhlak yang buruk. Nilai akhlak itu tidak dibezakan walaupun hanya sekadar dosa kecil kerana ia tetap membahayakan pelakunya apabila dilakukan berulang kali.

Baik dosa kecil mahupun dosa besar ia tetap diberikan amaran keras oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.

‘Abdullah bin ‘Abbas RA berkata:

لَا كَبِيرَةَ مَعَ الِاسْتِغْفَارِ وَلَا صَغِيرَةَ مَعَ الإِصْرَارِ

“Dosa besar pula hilang dengan beristighfar (memohon keampunan Allah); dosa kecil pula jangan dipandang ringan jika terus dilakukannya dengan berpanjangan.” Athar riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman 6882, [al-Tabari 9207 dan Ibn Abi Hatim 5217 dalam tafsir] – HARAKAHDAILY 6/5/2021

- Advertisement -