PKP di Selangor bukan tujuan politik

idris2
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad mengingatkan semua pihak agar tidak mempolemikkan keputusan kerajaan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa di enam daerah di Selangor, bermula hari ini hingga 17 Mei.

Menurutnya, langkah itu bertujuan bagi mengekang penularan Covid-19 daripada terus merebak di negeri berkenaan.

“Perkara yang dibuat ini bukan perkara yang dibuat sewenang-wenangnya oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Menteri Kanan (Keselamatan) dan Ketua Pengarah Kesihatan.

“Sebaliknya apa yang telah diputuskan ini berdasarkan perbincangan dalam kalangan ahli-ahli MKN yang terdiri daripada pakar-pakar perubatan, pakar kesihatan awam serta pakar ekonomi.

- Advertisement -

“Mereka telah berbincang dari sudut ekonomi dan sebagainya serta semua persoalan itu telah diambil kira dalam menentukan tahap persediaan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dilaksanakan di setiap daerah ataupun di satu-satu tempat yang dilanda wabak berkenaan.

“Justeru, tak perlulah kita nak mempolitikkan dalam soal menangani Covid-19, apa untungnya? Wabak ini tidak pernah mengenal bangsa, agama, pangkat, bahkan parti politik apapun, apa yang penting kita sepatutnya memberikan kerjasama,” ujarnya kepada HarakahDaily, hari ini.

Berhubung perkara ini, Ustaz Idris memaklumkan pelaksanaan PKP di Selangor atas persetujuan serta permintaan kerajaan negeri berkenaan, berikutan kes Covid-19 yang tinggi di negeri tersebut.

“Apa yang paling membimbangkan sekali oleh kerajaan negeri Selangor adalah ketidakcukupan fasiliti dan prasarana yang tidak dapat menampung kerana pesakit yang terlalu ramai.

Katanya lagi, berhubung isu pelaksanaan SOP PKP yang dikenakan di negeri Selangor itu bukanlah suatu perkara yang baharu, bahkan telah terpakai ketika PKP 1.0 tahun lalu.

“Kerajaan kita begitu prihatin, malah kerjasama daripada petugas barisan hadapan sangat baik, maka sepatutnya kita mestilah menjadi penyambung kepada keadaan yang berlaku bukan menyusahkan rakyat dan mempolitikkan isu ini.

“Kalau kita lihat PKP pada kali ini seimbang dari soal keselamatan, kesihatan dan ekonomi, tidak sepertimana PKP 1.0 yang berlaku total lockdown dan menjejasan ekonomi negara hampir berbilion setiap hari.

“PKP pada kali kerajaan memikirkan semua sudut, soal keselamatan, kesihatan dan juga ekonomi, inilah yang dirancang oleh pihak yang bertanggungjawab,” kata beliau.

Berkenaan permohonan aktiviti rentas daerah dan negeri, beliau menjelaskan kerajaan masih membenarkan untuk aktiviti berkenaan dengan syarat-syarat yang telah digariskan.

“Saya percaya pihak polis juga mempunyai budi bicara untuk membenarkan kita pergi ke suatu tempat dengan alasan-alasan kukuh yang diberikan, saya rasa itu perkara yang tidak perlu dipolitikkan.

“Kita harap dalam soal pematuhan SOP ini dapat dilaksanakan sebaiknya dan pihak penguatkuasa perlu ambil pertimbangan kemanusiaan dalam apa keadaan sekalipun,” kata Ustaz Idris.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak dapat mengambil pengajaran daripada kes yang berlaku di negara India, yang mencatatkan jumlah kes Covid-19 paling tinggi iaitu 380,000 sehari dengan 3,780 kematian harian baharu.

“Sebab itu kita kena fikirlah, kita tinggalkan pelampau politik, tak perlulah kita membawa satu naratif yang tidak betul, patut perkara ini tidak perlu dipolemikkan.

“Banyak lagi perkara yang kita nak buat, lepas Covid-19 ini kita berpolitiklah, kita bertarung di medan sebenar,” gesa beliau.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar Selangor, Dato’ Amirudin Shaari mengakui PKP perlu dilaksanakan semula di Selangor, namun pendekatan pelaksanaan perlu berbeza dengan PKP sebelum ini.

Beliau berkata PKP diperlukan bagi meredakan kembali peningkatan kes dengan penelitian beberapa perkara terutamanya membabitkan sektor ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat. – HARAKAHDAILY 6/5/2021

- Advertisement -